Bandura (1995) menjelaskan efikasi kendiri (self-efficacy) sebagai kepercayaan kepada keupayaan seseorang untuk mengorganisasi dan melaksanakan sesiri aksi yang dikehendaki untuk menangani pelbagai situasi. Prinsip asas teori efikasi kendiri ialah pencapaian dan motivasi individu ditentukan oleh kepercayaan terhadap diri sendiri (Bandura 1982). Individu lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam aktivti yang mereka mempunyai efikasi kendiri yang tinggi berbanding dengan aktiviti yang lain (Van der Bijl & Shortridge-Baggett 2002). Efikasi kendiri menyediakan asas kepada motivasi manusia (human motivation), kesejahteraan (well-being), dan pencapaian peribadi (personal accomplishment). Hal ini disebabkan individu mempunyai insentif yang tinggi untuk menghadapi cabaran dan dapat menjana hasil yang diingini apabila individu tersebut diberi kepercayaan.
Menurut Gecas
(2004), manusia cenderung untuk bertindak mengikut kepercayaan awal sendiri dan
efikasi kendiri berfungsi sebagai ramalan sempurna kendiri (self-fulfilling
prophecy) dalam keadaan ini. Sebagai contoh, pekerja A mempunyai keupayaan yang
tinggi dan banyak pengalaman, tetapi tidak beryakin bahawa dia boleh
menghasilkan graf yang berkualiti untuk satu persidangan penting syarikat.
Pekerja B hanya mempunyai keupayaan yang sederhana dan kurang pengalaman dalam
menghasilkan graf, tetapi dia beryakin untuk menghasilkan graf yang berkualiti
untuk persidangan tersebut sekiranya dia berusaha. Disebabkan efikasi kendiri
pekerja A yang rendah, dia kurang bermotivasi untuk menghasilkan graf untuk persidangan syarikat
dan memberitahu penyelia bahawa dia tidak dapat menyempurnakan tugasan
tersebut. Sebaliknya, efikasi kendiri pekerja B yang tinggi, dia ledih
bermotivasi dan berusaha untuk menghasilkan graf yang berkualiti untuk
persidangan syarikat lalu mendapat kenaikan pangkat.
Secara umunmnya,
penilaian efikasi kendiri diukur dalam dua skala asas, iaitu magnitud dan
kekuatan. Magnitud efikasi kendiri mengukur tahap kesukaran yang individu rasa
perlu untuk menyempurnakan sesuatu tugasan, seperti mudah, sederhana atau susah
(Van der Bijl & Shortridge-Baggett 2002). Kekuatan efikasi kendiri merujuk
kepada jumlah keyakinan yang dimiliki oleh individu mengenai pencapaiannya
dalam pelbagai tahap kesukaran (Van der Bijl & Shortridge-Baggett 2002).
Bandura (1977) melakarkan empat sumber maklumat yang digunakan oleh individu
untuk menilai efikasi kendiri, iaitu hasil prestasi (performance outcomes/
accomplishments), pengalaman tumpang rasa (vicarious experiences), pujukan
secara lisan (verbal persuasion), dan maklum balas fiisiologi (physiological
feedback). Komponen-komponen tersebut membantu untuk menentukan sama ada
individu mempercayai bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk menyempurnakan
tugasan tertentu. Williams dan Williams (2010) menyatakan bahawa “individu yang
mempunyai tahap efikasi kendiri yang tinggi akan menerima tugasan yang sukar
sebagai satu cabaran untuk dikuasai, bukannya sebagai ancaman yang perlu
dielakkan”.
Dalam komponen
hasil prestasi, pengalaman positif dan negatif akan mempengaruhi keupayaan
individu dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Jika seorang telah
menunjukkan prestasi yang baik dalam sesuatu tugasan sebelum ini, dia adalah
lebih cekap dan berprestasi tinggi dalam tugasan barunya (Bandura 1977). Selain
itu, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki turut mempengaruhi pilihan
tindakan mereka. Individu mentafsir pencapaian atau kejayaan yang dicapai hanya
berdasarkan penilaian kualiti pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki.
Contohnya, pelajar cemerlang akan menerima keputusan gred B dengan kekecewaan
manakala pelajar yang berprestasi rendah akan menerima keputusan gred B dengan
kegembiraan. Keputusan gred B kemungkinan akan membawa kesan negatif kepada
keyakinan pelajar cemerlang dan sebaliknya meningkatkan keyakinan pelajar yang
berprestasi rendah tersebut.
Komponen
tumpang rasa merujuk kepada keadaan individu untuk mewujudkan efikasi kendiri
yang tinggi atau sebaliknya melalui prestasi orang lain. Individu boleh
memerhatikan prestasi orang lain lalu membandingkan kecekapan orang lain dengan
kecekapan sendiri (Bandura 1977). Kejayaan orang yang sama dengan individu
tersebut dapat meningkatkan efikasi kendirinya. Komponen tumpang rasa telah
diaplikasikan dalam program mentor, di mana seorang individu berpasangan dengan
seseorang yang sama kerjaya dapat meningkatkan efikasi kendiri.
Menurut
Redmond (2010), efikasi kendiri turut dipengaruhi oleh pujukan lisan, iaitu
galakan atau kritikan yang diberikan kepada prestasi individu. Penggunaan
pujukan lisan dari sudut yang positif akan menyebabkan individu lebih berusaha
dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab dan individu tersebut mempunyai
peluang kejayaan yang lebih tinggi.
Selain itu, tahap kredibiliti, iaitu kualiti yang boleh diterima dan
dipercayai turut mempengaruhi keberkesanan pujukan lisan. Pengaruh pujukan
lisan dapat dilihat dengan lebih ketara semasa tahap kredibiliti adalah tinggi.
Walaupun pujukan lisan merupakan komponen efikasi kendiri yang lebih lemah, ia
dipraktikkan secara meluas kerana mudah dan boleh digunakan pada bila-bial masa
sahaja.
Individu
mengalami sensasi dari badan sendiri dan cara persepsi individu tersebut
terhadap maklum balas fisiologi turut mempengaruhi efikasi kendiri (Bandura
1977). Antara contoh maklum balas fisiologi ialah memberikan ucapan di hadapan
khalayak ramai, membuat pembentangan kepada klien yang amat penting, memgambil
peperiksaan dan sebagainya. Kesemua tugasan tersebut boleh menyebabkan
keresahan, kegelisahan, tapak tangan yang berpeluh, dan pecutan degupan jantung
(Redmond 2010). Sekiranya seseorang individu berasa lebih selesa dengan
tugasannya, dia akan berasa lebih berkemampuan dan mempunyai efikasi kendiri
yang lebih tinggi.
Kuala Lumpur
tumpang rujuk kat blog
ReplyDeleteGood info
ReplyDeletethank you.. mohon share di email? ariffinalimin@gmail.com
ReplyDelete