1.07.2012

Dilema Cinta Allah




Hari demi hari kita diberi dengan petunjuk-Nya tanpa kita sedari malah mungkin kita sedar namun kita enggan menyambutnya dengan hati yang terbuka. Dilema cinta kepada Allah. Suatu ceramah yang cukup bermakna untuk dicerna ke dalam jiwa, benar-benar memukul pintu hati yang keras membatu menghalang usaha untuk sampai kepada cahaya-Nya.


Hati yang kotor menyebabkan titik-titik hitam di hati malah terkadang kita tidak sedar kita sedang berbuat dosa kepada Allah. Berhatilah kita akan dosa-dosa kecil kerana gunung-gunung yang besar juga terbina dengan batu-batu kecil. Soal hati amat sukar untuk diungkapkan kerana kita dan Allah sahaja yang tahu apanya yang ada di dalam hati.


Bagaimana kita mahu menarik orang lain kepada islam bukan sahaja kepada bukan muslim malah juga kepada muslim sendiri? Apabila hati kita sendiri bergelut dengan kata-kata hati yang penuh iri, dengki, cemburu mahupun perasaan yang tidak suka. Mungkin ada dalam kalangan rakan-rakan kita yang sebenarnya tidak suka kepada kita namun dia menutupinya dengan senyuman. Apa sebenarnya yang ada dalam diri kita?




Marilah kita bersama memohon ampunan kepada-Nya. Bahawa ada dosa yang kita buat yang mungkin kita tak nampak tapi orang-orang sekeliling kita nampak akan apa yang kita buat tu. Apabila seseorang itu tidak menyukai seseorang lain, tempias rasa tidak suka itu juga mengenai pada orang yang tidak disukainya sehingga di situ timbul tanda tanya tentang manisnya berukhwah kerana Allah SWT.


Kita berkawan kerana apa? Adakah kerana rakan kita itu cantik/hensem? Adakah rakan kita itu bijak/genius? Rakan yang baik adalah rakan yang sentiasa bersama kita suka dan duka malah berani pula menegur kesilapan kita dan menegur apa yang patut untuk kebaikan.


Hati yang keras menghalang kita untuk mencerna bait-bait petunjuk-Nya melalui ceramah, majlis-majlis ilmu, usrah dan sebagainya yang membawa kita kepada mengenal-Nya dan mengenal islam dengan lebih dalam lagi insyaAllah.



Entri ini ditulis untuk kita sama-sama memuhasabah diri tentang di mana kita meletakkan Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan kita. Hanya hati yang benar-benar bersih dapat melihat di mana kesilapan kita dan apabila datang perasaan tidak enak tentang sesuatu hal maka lebih baik tinggalkan atau elakkan atau kurangkan. Seumpama lampu isyarat kuning yang mahu bertukar kepada merah. Berhati-hatilah apabila sampai pada lampu isyarat berwarna kuning supaya tidak terperangkap dalam lampu isyarat berwarna merah.


Di mana dan kerana apa kasih sayang kita sesama saudara selama ini? Di mana kita meletakkan ibu bapa kita dalam hidup selepas Allah dan Rasul? Adakah kita tahu apa kekurangan dan kelebihan mereka yang mungkin kita dapat turun padang membantu melengkapkan apa yang patut?


Semua persoalan ini menimbulkan tanda tanya pada kita sebagai hamba-Nya yang lemah hina.


Kita sebagai seorang daie harus sungguh-sungguh menegakkan islam dalam kehidupan kita dalam seluruh aspek. Kita sedang membawa orang kepada islam dan itu semua berkisar tentang hidayahnya Allah kepada hamba-Nya maka seharusnya dibalas dengan hubungan kita kepada Allah. Adakah dekat atau jauh? Dia yang menggerakkan hati-hati mereka dan hati-hati kita untuk memahami islam bukan sebab kita yang nak buat. Allah lah yang memberi ilham kepada kita untuk berubah dan melangkah jauh lebih baik memperbaiki diri di mana yang kurang dan mencontohi Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda. Cinta siapa ini?





Penuhilah hati-hati kita dengan sentiasa mengingati Allah. Hasad, dengki, iri dan cemburu yang menguasai diri harus dibuang jauh sejauhnya. Memang ianya susah namun ingatlah itulah harga sebuah nikmat yang tidak terhingga daripada Allah, yang menyebabkan hati yang gersang menjadi berbunga-bunga cuba mendamba cinta-Nya dan kepada matlamat hidup akhir kita yakni syurga...



Kuala Lumpur





No comments:

Post a Comment