8.21.2014

Impian Palestin : Sebuah Nukilan Rasa



Sinopsis Buku:

Randa, gadis manis warganegara Itali berdarah Mesir yang baru berusia lima belas tahun ketika menyaksikan berita di kaca TV mengenai seorang kanak-kanak Palestin yang bernama Muhammad al-Durrah ditembak mati dengan sebutir peluru tentera Israel yang menembusi tubuh mungilnya. Hatinya betul-betul tersentuh akan apa yang dilihatnya itu. Dan Randa ternyata adalah seorang gadis yang mempunyai bakat sastera yang luar biasa.

Randa tidak dapat mempercayai apa yang disaksikannya itu. Dia betul-betul tidak tahu apa sesungguhnya yang terjadi di bumi Palestin selain melaui berita dan analisis yang diwar-warkan oleh media Barat. Dia tidak percaya bahawa apa yang tengah disaksikannya juga dilihat dan sampai ke telinga seluruh masyarakat dunia.

Dia merasa hairan dan keliru. Maka dia kemudiannya seterusnya memutuskan untuk mencari kebenaran. Dia banyak bertanya kepada kedua ibu bapanya, membaca buku dan melayari internet untuk mencari hakikat sebenar yang terjadi di Palestin. Setelah mendapatkan pelbagai jawapan dan maklumat yang memuaskan rasa ingin tahunya, maka dia menulis sebuah cerpen yang kemudiannya memperoleh penghargaan kesasteraan kanak-kanak di Itali.

Atas permintaan sebuah syarikat penerbitan di Itali, maka cerpen tersebut selanjutnya dijadikan sebuah novel yang sungguh menarik dan menakjubkan. Ia mendapat sambutan ramai sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali, dan mendapat ratusan komen dari para ahli. Novel ini diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa di banyak negara sehingga menjadi satu novel fenomena di kalangan masyarakat antarabangsa, meskipun Lobby Yahudi cuba menyekatnya kerana mereka tidak ingin dunia membaca, melihat atau mendengar kisah rakyat Palestin selain menurut perspektif mereka sendiri.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Bukan pertama kali kita mendengar kisah insan-insan ini yang juga manusia seperti kita. Bahkan sebenarnya sudah bertahun kisah mereka ini bagai tidak berpenghujung terus menerus diuji. Ini adalah novel berkisar tentang kisah rakyat Palestin. Sepertinya inilah pertama kali sang penulis membaca novel tentang kisah di Palestin dalam bentuk kehidupan kita seharian. Membaca novel ini membuatkan sang penulis masuk ke dalam buku dan seakannya diri ini yang membaca bagai salah satu daripada karakter buku ini. Buku yang mana bagi orang lain mungkin adalah buku yang biasa-biasa sahaja atau mungkin orang lain akan menganggap buku ini hanya untuk ekstremis yang terlalu serius dan tidak melihat kepada kedua-dua belah pihak iaitu Israel dan Palestin.

Mungkin ini adalah hasil nukilan rasa sang penulis sendiri akan cerita buku ini. Ini blog sang penulis, kalian sang pembaca memang ada hak untuk menolak apa sahaja yang sang penulis tulis di sini. Hendak menolak bulat-bulat silakan kerana sang penulis menulis mengikut apa yang diceritakan oleh buku ini dan juga melalui ceramah-ceramah dan juga bacaan sang penulis sendiri.Mungkin ada yang berkata sang penulis tidak berlaku jujur di mana menulis tidak seperti mana cara sang penulis bercakap namun sang penulis percaya adalah penting untuk menjaga bahasa dalam menulis kerana kita sedang menceritakan sesuatu kepada seseorang yang dinamakan pembaca. Kita tidak tahu, mungkin sahaja melalui penulisan ini ada insan-insan yang tersentuh dengan penulisan kita. Siapa sang penulis di alam realiti mungkin tiada yang tahu di sini?

Apa-apa pun yang dikatakan orang, sang penulis sangat berpuas hati dengan buku ini. Kita yang membaca sudah merasa pedih dan pilu hatinya apakan lagi rakyat Palestin yang sendiri mengalaminya. Ketika menulis entry ini, abang sang penulis sibuk mengganggu sang penulis mengatakan sang penulis terlalu fokus dengan menulis. Hmm, beginilah sang penulis. :) Bila tangan dah menekan keyboard laptop dan idea bagai menerawang di otak maka apa yang berlaku di sekeliling seperti angin lalu sahaja. Heh~

Antara lain yang pernah diceritakan adalah bayangkan bagaimana suatu hari pembesar suara yang selalu menjadi medium untuk melaungkan azan di seluruh kawasan kini sudah tidak kedengaran azannya malah digantikan dengan sesuatu yang menyayat hati. Sedih. Sedih Sedih. Yang kini kedengaran adalah suara wanita2 Palestin yang dirogol secara paksa dan suara mereka yang diperlakukan sedemikian dibiarkan berkemundang di seluruh kota melalui pembesar suara tersebut.. Astaghfirullah.. di manakah sudah hati nurani sebagai seorang manusia? Hendak diberitahu kerana dendam semua ini berlaku? Memuaskan hati? Atau kerana marah? Dendam sehingga merosakkan malah mengorbankan mereka yang tidak bersalah? Pilu malah terkoyak rabai hati yang mendengar bilamana rakyat Palestin sendiri tidak dapat melakukan apa-apa bila ianya berlaku. Mereka tidak bersenjata malah dihalang bila mana ada yang cuba untuk menghentikan hal itu namun tentera Israel tidak putus asanya menyeksa rakyat Palestin.

Anda cuba bayangkan bila perompak masuk ke rumah anda dan mereka berjaya menakluki 2/3 daripada rumah anda dan anda tinggal memiliki 1/3 daripada rumah tersebut. Tanpa malu, perompak itu meminta agar mengikitiraf 2/3 rumah itu sebagai rumah mereka. Anda rasa apa perasaan pemilik 1/3 rumah itu? Apa yang akan mereka lakukan? Diam begitu sahaja membiarkan rumah mereka diduduki perompak? Sang penulis biarkan sang pembaca sendiri memikirkan jawapannya.

Ada juga satu kisah dalam buku ini di mana seorang wanita yang hendak melahirkan anaknya terkandas dalam pemeriksaan lalu lintas oleh tentera Israel. Kononnya mahu memeriksa keberadaan pengganas, malah setiap kenderaan yang lalu lalang perlu diperiksa. Ambulans yang membawa wanita ini agak jauh ke belakang daripada barisan pemeriksaan lalu lintas tersebut. Wanita ini sudah meraung kesakitan hendak melahirkan anak. Seorang doktor beragama Kristian yang menyedari tentang hal ini lantas ke hadapan dan cuba untuk berunding dengan tentera Israel. Cuba sang pembaca teka apa yang dijawab oleh tentera itu apabila diminta disegerakan ambulans itu ke hospital?

"Biarlah dia itu mati." Astaghfirullahalazim..

Doktor itu terkejut mendengar kata-kata dari mulut tentera itu sendiri. Tentera itu berkata tanpa ada apa-apa perasaan dalam hatinya, caranya menjawab bersahaja sahaja seperti kita yang memeberitahu rakan-rakan kita yang kita "hendak pergi makan". 

"Biarlah dia itu mati." Astaghfirullahalazim..

Dan wanita itu akhirnya meninggal dunia dalam ambulans tersebut tanpa dapat diselamatkan anaknya dan juga dirinya. Wanita itu mati kerana tidak dapat tahan sakit. Dan doktor itu mengalami perasaan pedih yang amat melihatkan keadaan itu berlaku di depan matanya. Ini bukan soal kepentingan agama lagi! Ini soal kemanusiaan sesama manusia! Di manakah ia pergi pada masa ini? Ke lubang cacing kah? Di mana? Sedang kita senang sahaja di sini menyaksikan sahaja dari kaca tv, mungkin perasaannya tidaklah sepedih sepertimana orang yang mengalaminya.

Tiada lagi suara-suara keluarga yang berkumpul di meja makan seperti selalunya. Riang gembira berkumpul makan bersama. Bila diserang oleh Israel semuanya jadi musnah, tiada lagi ibu, tiada lagi anak saudara. Bayangkan orang tua yang dipukul oleh tentera Israel itu adalah datuk anda atau nenek anda yang sudah tidak berdaya? Lalu akhirnya tewas di tangan tentera Israel. Kanak-kanak juga sudah tidak tahu apa ertinya bermain, mereka berkembang sebagai kanak-kanak yang matang lebih awal daripada anak-anak lain yang hidup di zamannya. Semua disebabkan oleh kekerasan, kesengsaraan, kepedihan hidup yang terpaksa mereka lalui di saat masih muda. Namun itu tidak memutuskan semangat mereka untuk mempertahankan tanah Palestin. SubhanAllah, dan kita pula di sini bagaimana? Apa tindakan kita?

Astaghfirullahalazim.. Astaghfirullahalazim.. Astaghfirullahalazim..

Mungkinkah sebenarnya melalui musibah yang melalui mereka ini, Allah sebenarnya memanggil kita semua untuk bangkitlah, bangunlah? Infiru, bangkitlah kamu dengan harta dan jiwamu. Mungkin inilah sahaja cara untuk kita disedarkan dari tidur yang nyenyak dari lalainya kita dalam hidup ini. Wallahualam.


Bintulu, Sarawak.

No comments:

Post a Comment