1.29.2011

Hutang Budi Dibawa Mati

Gambar hiasan

Assalammualaikum w.b.t…kepada pembaca blog sekalian. Sedarkah kita, hari-hari yang kita lalui memberi banyak hikmah yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada kita. Pada minggu ini contohnya aku tertarik dengan kata-kata daripada seorang pensyarah (A) saya yang berkongsi tentang pendapatnya mengenai suatu hal. Diumpamakan dalam suatu suasana di mana seorang lelaki (A) sedang berada di kafe untuk sarapan pagi. A bekerja di sebuah institusi pelajaran di Wilayah Persekutuan Labuan. Jadi datanglah seorang lelaki (B), rakannya yang juga bekerja di tempat yang sama dengan A. B menyatakan hasratnya untuk membelanja A. A merasa terharu kerana selama dia makan di kafe tersebut tidak banyak yang mahu membelanjanya. A pun menerima pelawaan B dengan hati yang terbuka. Masakan tidak, A dan B merupakan sahabt baik.



Tidak lama kemudian, datang pula seorang wanita (C) rakan sekerja menyertai mereka berdua untuk makan bersama. Tanpa berfikir panjang B juga menyatakan hasratnya untuk membelanja C. namun begitu, tidak sama dengan A, C menolak pelawaannya. Walaupun B banyak kali mendesak mahu membelanjanya tetapi C masih juga enggan sehingga akhirnya C kalah lalu menerima pelawaan B. Mereka bertiga pun makan bersama-sama. Setelah habis mereka makan, C pun meletakkan sesuatu berdekatan dengan beg B lalu beredar pergi dan mengucapkan terima kasih. B pun melihat pada begnya, didapatinya duit sebanyak RM6.00 tergeletak di situ. RM6.00, sama nilai dengan harga makanan yang dibelanja oleh B untuk C pada hari itu tadi. A dan B berpandangan hairan dengan hal itu.

Pernahkah anda melalui peristiwa seperti ini dalam hidup anda? Perasaan enggan menerima kebaikan yang diberikan oleh orang lain terhadap anda.Cuba para pembaca berfikir, berapa banyak anda pernah menerima kebaikan orang lain selama anda hidup di dunia. Barangkali kerana kita tidak membalas budi mereka yang telah berbuat baik pada kita. Mahu tidak mahu, apa pula maksud sebenar yang mahu disampaikan dalam serangkap pantun Melayu ini?

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Saya tidaklah bermaksud mahu memberitahu bahawa kita dilarangmembalas jasa orang, cumanya saya juga terfikir sendiri. Adakah kita dapat membalas semua budi baik mereka ini? Budi orang yang kita tidak mampu balas dibawa ke mati seperti baris terakhir rangkap pantun ini, di akhirat itulah jawapan segala balasan kebaikan kita di dunia. Mungkin kebaikan yang kita buat pada orang lain hari ini dibals pula oleh Allah SWT dengan sesuatu yang lebih baik, mungkin bukan di dunia, mungkin di akhirat. Sepertinya kita diselamatkan oleh seseorang dalam nahas kebakaran di sebuah tempat dengan izin-Nya Allah SWT, kita tentunya tidak dapat mahu meletakkan orang yang berbudi pada kita itu tadi ke tempat kebakaran lain supaya kita pula yang menyelamatkannya. Mungkin juga antara kita mahu membalas budi dengan cara baik yang lain untuk membalas budi mereka.

Seperti pengorbanan ibu bapa yang memang tidak dapat dibalas, terlalu banyak. Sebagai anak, antara lain akan belajar bersungguh-sungguh demi membalas jasa mereka kerana melahirkan dan membesarkan kita. Apalagi dengan nikmat yang Allah SWT berikan pada kita umat manusia. Tak terkira dek lautan meluas terbentang. Dalam memberi rezeki, Allah SWT tidak mengecualikan sesiapa, orang islam dan orang bukan Islam kedua-duanya mendapat rezeki. Justeru, untuk membalas nikmat-nikmat Allah SWT ini, kita sebagai umat Islam hendaklah mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Teringat pula pada suatu pepatah, rezeki jangan ditolak. Kembali kepada cerita tadi.

Bayangkan bahawa anda mahu memberi rakan anda sebuah hadiah, anda sangat mahu memberi hadiah itu kepadanya memandangkan anda tahu rakan anda mendambakan hadiah seperti itu misalnya sebuah kereta. Walaubagaimanapun, rakan anda tidak mahu menerima hadiah daripada anda dan anda merasa sungguh kecewa kerana hasrat untuk memberi sebuah kereta kepadanya ditolak mentah-mentah. Benar, memberi itu adalah lebih baik daripada menerima. Namun, jika semua orang mahu memberi siapa yang mahu menerima? Sejujurnya, adakah kita mahu selamanya menolak kebaikan yang diberikan oleh orang lain terhadap kita? Fikiran mula berfikir lagi.

Mungkin analogi cerita di atas nampak seperti perkara biasa yang berlaku dalam hidup kita seharian, namun apabila cuba ditelesuri hikmah di sebalik kejadian-kejadian ini, membuatkan kita sendiri terfikir. Bahawa menerima dan memberi kedua-duanya mempunyai kelebihan. Coretan ini hanya bermaksud mahu berkongsi cerita hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita seharian. Terpulang kepada anda mahu menerimanya atau menolaknya. Sama-samalah kira berfikir sebentar. Sekian..wassalam..

1 comment: