8.28.2011

NOKTAH HIDUP 3


Matahari pada petang itu memancarkan sinarnya yang terang-benderang. Burung-burung berterbangan di awanan bersiul-siul memecah kesunyian di alam langit. Seringkali awanan itu menutupi sinarnya matahari yang indah. Perumahan tempat tinggal Marwa Insyirah diselubungi oleh suara-suara anak kecil yang bermain-main di halaman rumah. Marwa Insyirah ketika itu sedang berada di dalam biliknya bermain dengan telefon bimbitnya, sesekali dia tersenyum sendiri dan sesekali ddia kelihatan bimbang. Apa yang dirasakannya kini sungguh berbeza daripada apa yang diinginkannya suatu ketika dahulu, suara-suara daripada malaikat dan syaitan masing-masing bertelingkah membisik di telinganya.

Ada rasa yang tidak sedap di hatinya semenjak dia berhubungan dengan Asri beberapa minggu yang lalu. Hatinya seakan-akan meronta mahu lepas dari bersama dengan Asri. Manakala di sudut yang lain pula dia merasa perlunya dia meneruskan hubungannya bersama Asri kerana rakan-rakannya yang lain sudah pun mempunyai teman lelaki. Jika dia memutuskan hubungan dengan Asri, dia pasti akan merasa rendah diri bila bersama dengan teman-teman. Begitulah jiwa remaja yang telah dibentuk secara sistematik oleh orang Barat yang terlibat, pengaruh media massa juga telah mengasyikkan lagi perubahan semasa pada hati anak-anak muda ini. Cerita-cerita yang ditayangkan lebih kepada bertemakan cinta sehingga begitu mudahnya meresap ke dalam fikiran remaja. Perasaan ingin tahu dalam meletakkan diri dalam alam percintaan sepatutnya bukan menjadi sebab untuk mereka berbuat sedemikian. Bahkan tanpa perasaan ingin tahu itupun setiap manusia boleh bertemu jodoh sendiri dengan izin Allah. Setiap manusia ada ditetapkan masa hidup, mati, jodoh dan rezekinya oleh Allah SWT.

“ Lebih baik kita terus sembunyikan hubungan kita ni daripada diketahui oleh orang lain” Marwa menekan punat HANTAR pada telefon bimbitnya. Beberapa saat kemudian, pesanan ringkas itu sampai kepada Asri. Jantungnya berdegup membaca isi pesanan ringkas yang dihantar oleh Marwa. Asri seakan-akan dapat menghidu sesuatu yang tidak baik berlaku. Bahkan, dia mahu sekali jika hubungannya dengan Marwa itu diketahui oleh orang lain kerana dia mahu menunjukkan pada Wasilah bahawa dia masih boleh hidup seperti biasa walaupun tanpanya sekalipun.

“ Saya rasa tak selesa dengan hubungan kita yang sekarang ni” Marwa menghantar pula pesanan ringkas seterusnya tanpa ragu-ragu lagi. Dia kini yakin dengan keputusannya. Asri masih juga belum membalas mesej daripada Marwa. Asri merasakan bahawa Marwa ini tidak benar-benar mahu bersama dengannya jadi Marwa tidak mahu orang lain mengetahui tentang mereka. Malah hari itu dia sempat juga melihat Wasilah yang seakan-akan cemburu dengan mereka berdua, masakan belum sampai sebulan hubungan mereka putus Asri pula mendapat kekasih baru. Dan orang itu pula adalah Marwa, orang yang paling tidak disangkanya akan merampas Asri.

“ Cakap saja kamu mahu hubungan kita putus sampai di sini”, akhirnya Asri membalas pesanan ringkas daripada Marwa. Dia pun tidak mahu berselindung lagi, dia mahu menguji pendirian Marwa untuk terus menyembunyikan hubungan cinta monyet antara mereka berdua. Marwa menerima mesej tersebut dan ternyata dirinya terkejut kerana Asri memahami maksudnya berkata sedemikian. Sebelum ini pun, dia dan Asri pernah berjalan bersama tetapi tidaklah sampai mahu berdua-duaan, dia membawa sekali teman-temannya. Ada rasa malu dan bersalah dalam hatinya, yang dia sendiri tidak tahu mengapa.

Banyak kali dia teringat akan kata-kata daripada ustaznya dalam kelas agama yang menyebut tentang hubungan cinta remaja sebelum alam perkahwinan. Ustaz Mahdi benar-benar bersungguh membimbing pelajarnya di dalam kelas sehingga penyampaiannya terperinci memberitahu bagaimana pandangan mata boleh turun ke hati dan akhirnya membawa kepada masalah hati. Ya, masalah hati yang boleh menyebabkan pelakunya lupa kepada Allah, lalai daripada menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah apatah lagi hubungan itu tidak didasari dengan niat kerana Allah dan Rasul-Nya. Lupa menunaikan tanggungjawab kepada Allah kerana terlalu asyik atau leka dengan cinta kepada insan yang belum pasti lagi adalah jodoh kita.

Marwa membiarkan sahaja Asri menunggu balasan pesanan ringkas daripadanya. Baginya, hubungan mereka telahpun putus begitu sahaja. Marwa berasa hairan kerana dia langsung tidak menangis sekalipun, dia teringat akan temannya semasa di sekolah rendah dahulu yang putus cinta. Temannya itu sampai tidak turun ke sekolah beberapa hari semata-mata kerana putus cinta dengan teman lelakinya. Mencintai dan dicintai itu adalah satu fitrah untuk manusiawi. Sebuah fakta yang tidak dapat dinafikan. Ada apa dengan cinta? Suatu persoalan yang mempunyai pelbagai jenis jawapan dari jiwa dan hati yang berbeza tentunya.

Beberapa bulan selepas Marwa dan Asri memutuskan untuk berpisah, Asri berpindah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu. Berita terakhir yang diterima oleh Marwa adalah, Asri kini berpindah ke sebuah sekolah sains yang agak tersohor di tempatnya itu. Begitulah sahaja cerita tentang kisah antara Marwa dan Asri. Segala kenangan yang berkaitan dengan Asri segera dibuang oleh Marwa demi untuk membuang dan melupakan kenangannya bersama dengan insan itu. Kini, dia harus memulakan kehidupan yang baru yang mungkin adalah lebih baik dari apa yang dilaluinya pada ketika ini. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu, semuanya yang terjadi di atas muka bumi ini telah tercatat dan pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian.

Seperti semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam di malam yang gelap, kewujudan Allah SWT itu sememangnya ada, tinggal kita sahaja yang perlu mengakuinya dan mencari serta mengenal siapa itu Allah SWT. Salah satu caranya ialah dengan mengenali sifat-sifat Allah yang semuanya ada sembilan puluh sembilan buah nama. Siapa lagi yang lebih ikhlas menjaga dan memerhati kita pada setiap masa selain daripada Allah SWT, sehingga orang yang bukan Islam pun masing-masing menerima rezeki daripada-Nya. Maha Suci Allah, SubhanAllah. Kenyataan ini kerap kali dipandang hanya sebelah mata sahaja oleh sebahagian manusia.

Marwa sedang berdiri di salah satu sudut luar kelasnya pada waktu rehat, dia sedang asyik memerhati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Allah SWT mencipta langit tanpa tiang, awan terapung di udara menjalankan tugasnya sebagai salah satu daripada makhluk Allah SWT. Malah dengan kehadiran langit juga kombinasi ini menjadi padu dan cukup menenangkan untuk dihayati. Syarah, Ain dan Mira sedang makan bersama di dalam kelas meninggalkan Marwa seorang diri di luar kelas bertemankan alam ciptaan Allah SWT. Sesekali Marwa diperhati oleh rakannya yang lelaki yang juga daripada kelas yang sama, melihat seseorang yang termenung seperti Marwa adalah sesuatu yang aneh bagi mereka. Sebelum ini, Marwa sentiasa menyertai Syarah dan yang lain untuk makan bersama. Mereka menyangka Marwa masih lagi teringat dengan Asri jadi mereka hanya membiarkan sahaja Marwa seorang diri tanpa sesiapa pun yang mengganggunya. Seorang daripada mereka adalah Harison, Harison adalah rakan yang paling rapat dengan Asri sebelumnya dan selalu menjadi penghantar surat antara Marwa dan Asri semasa di dalam kelas semasa Marwa dan Asri bercinta.

“ Mar, apa yang awak menungkan ni?” tanya Syarah. Marwa sedikit tersentak dengan sapaan Syarah, dia menoleh ke arah Syarah dan mengukir senyuman. Dia tidak mahu rakannya itu menyedari akan apa yang dia fikirkan. Marwa sebenarnya berasa keseorangan, dia merasakan tiada lelaki pun di dunia ini boleh mencintainya dengan hati yang tulus. Dia sedar asri hanya mempergunakan dirinya untuk mencemburui bekas kekasihnya, Wasilah.

Cintanya kepada Asri bukanlah cinta dalam erti kata dan maksud yang benar kerana Marwa tidak menyukai Asri pada hakikatnya. Dia merasakan bahawa hubungan mereka berdua itu terjadi tanpa tidak sengaja dengan perantaraan antara Syarah, Asri dan dirinya sendiri. Jika Marwa benar-benar mencintai Asri, dia sendiri akan mengakuinya dari hati yang paling dalam. Keputusan Asri untuk menerimanya tempoh hari merupakan suatu kesilapan yang besar. Segalanya berlaku dengan begitu cepat, dia tidak pernah juga bermaksud untuk benar-benar menjalin hubungan cinta ‘monyet’ dengan Asri. Dihimpit dalam masalah yang mengelirukan dirinya menyebabkan dia bersetuju sahaja untuk meneruskan hubungan itu. Perasaan untuk merasa mencintai dan dicintai yang difirkannya dahulu pada masa itu.

Selain itu, Marwa juga tidak mahu dituduh merampas kekasih orang iaitu Wasilah. Dia yakin, masih ada sisa-sisa cinta yang tinggal antara Wasilah dan Asri kerana jarak tempoh perpisahan antara mereka berdua tidak terlalu panjang. Dia masih teringat lagi tatkala sekolah rendah dahulu, Asri mengalami demam panas dan tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai pengawas sekolah pada waktu rehat. Oleh itu, Asri diberi peluang untuk berehat sahaja di dalam kelas bersama dengan Wasilah. Marwa menjadi saksi akan apa yang berlaku pada hari itu, Wasilah berusaha untuk terus bersama dengan Asri, dia memberi minuman dan makanan kepada Asri supaya Asri cepat sembuh. Ada juga beberapa pelajar lain yang memerhati perbuatan antara mereka beerdua yang juga boleh diklasifikasikan sebagai sesuatu yang jarang berlaku dan barangkali juga boleh menjadi sebab pelajar-pelajar lain yang tidak bercinta merasa cemburu dan ingin mencontohi mereka.

Hubungannya dengan Asri tidak sepatutnya terjadi, Marwa juga yakin bahawa dia meneruskan hubungan dengan Asri kerana merasa ingin dicintai seperti itu juga dan sekarang dia telah sedar dari lenanya yang panjang. Ada rasa lain dalam dirinya tatkala berhubungan dengan Asri semasa mereka bercinta, seakan-akan apa yang dilakukannya itu salah dan dia seringkali merasa gelisah dan risau. Apabila bercinta, pasti cemburu bertandang kerana tidak mahu kekasih hilang dari genggaman. Hal itu juga berlaku pada Marwa semasa bersama Asri dan itu menyebabkan Marwa berasa kurang selesa kerana asyik memikirkan tentang hal itu. Dia tidak mahu lagi membiarkan dirinya dikongkong oleh perasaan cemburu, Marwa mahu bebas tanpa memikirkan seseorang lelaki yang belum pasti menjadi suaminya.

Kini rasa ketenangan menyelubungi hati dan dirinya cuma fikirannya yang masih terganggu. Adakah dia akan menemui lelaki yang benar-benar akan mencintainya? Jawapan untuk soalan itu dibiarkan terus tanpa jawapan olehnya. Suatu hari nanti dengan izin Allah SWT, dia pasti menemui jawapannya.

Syarah bercerita kepada Marwa tentang apa yang berlaku di rumahnya belakangan ini. Ibunya telah mengambil kerja untuk menjadi penjaga bayi atau lebih dikenali sebagai ‘babysitter’, merupakan sesuatu yang baru bagi Syarah kerana dia setahu Marwa tidak sukakan bayi. Perbualan mereka diselang-seli dengan tawa ria. Biarlah Marwa melupakan peristiwa yang berlaku antaranya dan Asri. Ada lagi hal yang lebih penting untuk difikirkan daripada memikirkan tentang Asri, dia mahu menumpukan perhatiannya pada rakan-rakannya, mereka lebih memerlukan kasih sayang daripadanya sebagai kawan dan sahabat.

Kelas berlangsung seperti biasa. Semasa mata pelajaran Geografi, Badihah begitu berani melawan arahan dan kata-kata daripada guru yang mengajar subjek itu. Berlaku sedikit pertelingkahan antara pelajar dan guru. Kata-kata yang keluar dari mulut Badihah membuatkan pelajar-pelajar lain yang mendengarnya ketawa padahal apa yang dikatakan oleh Badihah adalah merupakan kata-kata yang keras. Marwa dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh Cikgu Dasuki kepada Badihah. Sesuatu yang nampak lebih sebagai sumpah barangkali kerana nada guru itu menyampaikannya seperti mahu bergurau.

Restu daripada Cikgu Dasuki tidak sampai kepada Badihah. Sesuatu yang amat menyedihkan untuk berlaku, Marwa duduk di bahagian belakang sekali dalam kelasnya, dia memerhati bagaimana reaksi Cikgu Dasuki apabila Badihah mengeluarkan kata-kata keras malah sebatung kapur dibaling ke arah Badihah oleh Cikgu Dasuki tetapi tidak mengena pada Badihah kerana Badihah sempat lagi mengelak menyebabkan guru itu merasa tidak puas hati dan semakin geram kepada Badihah. Sebaliknya, Badihah ketawa tersengih-sengih di tempat duduknya.

Kelas Geografi pada hari itu berlalu pada masa yang sangat singkat, Cikgu Dasuki sudah tidak dapat bertahan lagi dan beergegas keluar dari kelas tersebut. Easter yang duduk bersebelahan dengannya menyapa Marwa dan ketawa kerana Badihah berhasil menamatkan sesi pelajaran Geografi pada hari itu dengan jayanya, Marwa turut tersenyum namun tidak dari hatinya. Dia mula berfikir, mengapakah Badihah sanggup berkelakuan seperti itu kepada insan bergelar guru? Adakah ramai lagi guru yang menghadapi hal yang sama seperti Cikgu Dasuki? Tidak dihormati. Pekerjaan sebagai guru adalah sebuah pekerjaan yang mulia jika kena dengan niatnya untuk menyampaikan ilmu namun apa yang berlaku kini. Ramai yang tidak memahami peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing pelajar ke arah kejayaan.

Beberapa hari kemudian, Marwa mendapat tahu bahawa dia telah dipilih untuk menjadi pengawas sekolah. Wali kelas mereka, Ustazah Maria telah mengumumkan hal itu kepada mereka sebelum waktu pertama pembelajaran dan penilaian bermula pada hari tersebut. Selain Marwa, Syarah dan Iyas pun terpilih menjadi pengawas. Tugas pengawas dalam sekolah ialah untuk mengawasi setiap pelakuan pelajar, baik dari segi disiplin mahupun kebersihan terutamanya.

Dua hari berlalu, sebuah perhimpunan diadakan untuk mengumumkan pelantikan pelajar terpilih yang menjadi pengawas sekolah itu. Semua pelajar sekolah tersebut berkumpul di perkarangan tengah bangunan sekolah mengikut kelas masing-masing. Pengawas tahun lepas atau lebih dikenali sebagai Pengawas Senior sedang bertugas mengatur dan mengawasi pelancaran majlis berkenaan untuk memastikan tiada yang mengganggu pelancaran majlis terbabit. Senior-senior ini akan menjadi mentor kepada pengawas-pengawas yang baru untuk dua bulan daripada sekarang sebelum mereka diletakkan jawatan secara rasmi. Perancangan yang cukup strategik bagi menyediakan pengawas baru yang berkaliber dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. Pelbagai program dijalankan untuk semua pengawas bagi mengasah lagi kepemimpinan mereka kepada pelajar yang lain. Tentunya, faktor penampilan diri dan status akademik juga diambil kira.

Pengawas-pengawas baru sedang bersedia di dalam Makmal Kimia berdekatan dengan pentas perhimpunan tersebut berlangsung. Tidak ramai Pengawas Senior yang Marwa kenali sejak masuk ke sekolah tersebut dan malah mungkin juga tidak kenal langsung. Dia hanya sempat melihat Pengawas Senior mengawasi kawasan kantin dan pagar depan sekolah. Manakala Pengawas Senior pula kini sudah bersedia berdiri di hadapan setiap baris kelas menunggu arahan seterusnya. Suasana riuh-rendah dengan suara pelajar yang masing-masing tertanya tentang apa yang akan berlaku dalam perhimpunan tersebut nanti. Baru kali ini mereka dapat melihat kesemua Pengawas Senior sekolah tersebut.

Pengawas lelaki masing-masing nampak segak dengan pakaian yang kemas dan teratur ditambah dengan pakaian rasmi pengawas berwarna biru tua. Pengawas perempuan pula nampak cantik dan berseri-seri, yang muslim memakai tudung manakala yang bukan muslim sebaliknya. Tempoh hari, Marwa mendapat tahu daripada Syarah bahawa kebanyakan pelajar tahun lepas atau Pengawas Senior diambil dari sekolah rendah mereka. Tidak hairanlah ramai pelajar junior mudah tertarik dengan penampilan luaran Pengawas terpegun hebat kerana kebanyakan Pengawas Senior itu kacak dan cantik. Padahal yang sepatutnya diberi penilaian yang jitu adalah hati mereka itu sendiri bukanlah daripada luaran semata-mata.

Marwa tidak berapa berminat untuk melihat apa yang terjadi di luar Makmal Kimia tersebut, Syarah dan Iyas pula sedang teruja berdiri di tepi tingkap untuk melihat suasana perhimpunan di tapak padang itu. Dalam Makmal Kimia itu juga, Marwa menemui Cikgu Dasuki selaku wakil Bahagian Disiplin pelajar yang bertugas untuk memastikan semua pengawas baru bersedia dan hadir dalam perhimpunan itu nanti. Cikgu Dasuki hanya memberikan senyuman yang ringan kepada Marwa yang sedari tadi memerhatinya. Marwa teringat akan apa yang berlaku di dalam kelas tempoh hari yang berlaku antara guru tersebut dengan Badihah.

Majlis perhimpunan hari itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan negara Malaysia, Negaraku dan lagu sekolah diiringi dengan iringan muzik. Semua pelajar menyanyi dengan penuh semangat dan berdiri dengan tegak. Kemudian, bacaan doa dan ikrar pelajar berlangsung yang diketuai oleh Pengawas Senior yang bertugas. Cikgu Dasuki mengambil tempat dan menyampaikan sedikit taklimat tentang peraturan-peraturan disiplin sekolah tersebut diikuti dengan sedikit kata-kata semangat. Badihah ketawa seorang diri ditempatnya apabila mendengar Cikgu Dasuki memberi kata-kata semangat kepada pelajar-pelajar lain kerana dia tidak langsung menyangka Cikgu Dasuki merupakan guru disiplin pada hakikatnya.

Selepas itu, Ketua Pengawas iaitu Mus’ab memberi sedikit ucapan kepada pelajar tentang masalah-masalah disiplin yang pernah berlaku di sekolah tersebut dan memberitahu harapan semua pengawas tentang untuk menjadikan sekolah tersebut mendapat kedudukan pertama dalam senarai masalah disiplin sifar pada tahun itu nanti. Mus’ab bin Umar juga berharap bahawa semua pelajar dan juga para pengawas boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk mengatasi apa-apa masalah yang mungkin terjadi pada masa akan datang.

Suasana menjadi riuh-rendah seketika apabila ada pelajar yang pengsan kerana terlalu lama berdiri ditambah lagi dengan cuaca yang panas terik. Guru yang terlibat segera membantu menenangkan keadaan, sejurus selepas itu beberapa orang guru lain pula membantu mengangkat pelajar tersebut untuk dirawat di Bilik Sakit.

Walaupun suasana masih belum reda lagi, majlis tetap diteruskan juga untuk mencapai objektif awal perhimpunan itu berlangsung. Pengetua sekolah tersebut, Puan Salihah mengambil tempat untuk memberi sedikit ucapan ringkas dan merasmikan majlis pelantikan Pengawas Junior. Semua Pengawas Junior dipersilakan mengambil tempat masing-masing iaitu berdiri berhadapan dengan Pengawas yang juga merangkul sebagai Mentor kepada mereka untuk dua bulan yang akan datang. Marwa berjalan tenang dan cepat sambil menundukkan sedikit kepalanya. Apabila sampai sahaja pada tempatnya berdiri, dia pun berhenti dan memandang Pengawas Junior atau Mentornya itu. Angin sepoi-sepoi menampar susuk tubuh badan badan kedua-dua mereka seakan-akan tahu akan apa yang baru sahaja berlaku.

Allah jua yang Maha Bijaksana merancang setiap yang terjadi kepada makhluk-Nya di dunia ini. Tiada yang terlepas daripada pengawasannya, setiap nafas, setiap detik, setiap daun jatuh dan setiap titis hujan turun segalanya diketahui oleh Allah SWT. Pertemuan dan perpisahan semuanya dirancang oleh Tuhan yang Maha Berkuasa diiringi dengan hikmah yang tersembunyi. Barangkali kita juga tidak sedar akan hikmah disebalik setiap kejadian namun jika kita melihat sesuatu itu dengan hati dan akal, dengan izin Allah SWT kita pasti menemui sebab ia berlaku pada diri sendiri.

Fadul dan Marwa kini saling berpandangan. Fadul adalah Pengawas Junior dan juga adalah Mentor kepada Marwa untuk dua bulan yang akan datang. Lelaki yang pernah hinggap di hati Marwa suatu ketika dahulu dan kini benar-benar berdiri di hadapannya dan mereka berdua untuk dua bulan yang akan datang bekerjasama antara satu sama lain. Marwa merasa seperti hendak lari dari tempatnya berdiri tetapi kakinya tidak dapat bergerak kerana perbuatannya lari daripada majlis perhimpunan itu hanya akan menganggu kelancaran pelantikan Pengawas Junior yang lain. Fadul memerhati perbuatan Marwa yang seakan-akan tidak selesa dengan dirinya. Siapa perempuan ini? Dia merasa dia pernah berjumpa dengan Marwa sebelum ini tetapi dia tidak ingat bila dan di mana. Marwa berusaha menenangkan dirinya dan terus menundukkan kepalanya sedikit. Ada sesuatu yang timbul dalam jauh lubuk hatinya apabila terpandang Marwa tetapi Fadul tidak dapat mengenali apakah itu.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyerahan baju rasmi Pengawas sekolah tersebut. Dengan kiraan satu, dua dan tiga, semua Pengawas Senior menyerahkan baju rasmi pengawas sekolah tersebut kepada Mentee masing-masing. Fadul menyerahkan baju tersebut kepada Marwa, Marwa menyambutnya lalu memakaikan baju tersebut ke badannya tanpa melihat ke arah Fadul. Rakan-rakan Marwa tersenyum sendiri di tempat mereka apabila melihat Marwa memakai pakaian rasmi tersebut. Pelajar-pelajar lain yang bukan pengawas dibenarkan pulang awal ke kelas kerana perhimpunan itu perlu diteruskan dengan taklimat ringkas kepada semua pengawas yang terlibat baik Senior ataupun Junior. Sebelum perhimpunan hari itu berakhir, mereka menyanyikan lagu Ibu Pertiwiku, lagu kebangsaan Negeri Sarawak.

Beberapa hari kemudian, di pintu masuk utama sekolah tersebut. Marwa, Fadul dan beberapa orang pengawas lagi sedang menjalankan tugas masing-masing. Ada pelajar yang datang ke sekolah dengan menggunakan basikal, kereta, bas, van, berjalan kaki dan sebagainya. Jalan raya sedikit sesak pada pagi itu dengan seringkalinya bunyi hon membingitkan telinga. Para pemandu kenderaan masing-masing tidak dapat bersabar dengan kesesakan lalu lintas tersebut sehinggakan sanggup menghantar anak-anak mereka di pertengahan jalan berdekatan dengan pintu masuk untuk mengurangkan kesesakan di hadapan pintu masuk. Guru-guru sekolah tersebut kelihatannya juga turut sama menjadi mangsa kesesakan jalan raya.

Marwa kini keliru dengan perasaannya kepada Fadul. Wajah itu kembali mengganggu fikirannya membuatkan Marwa kadangkala tidak dapat fokus di dalam kelasnya. Jika dahulu Marwa yang mengekori Fadul kini Fadul pula yang sentiasa mengekori Marwa untuk mengawasi Marwa sebagai menteenya. Fadul wajib menghantar laporan kepada ketua pengawas setiap minggu demi melaporkan perkembangan pengawas junior yang akan mewarisi tampuk kepimpinan sekolah itu pada tahun hadapan.

Sejak hari perhimpunan tempoh hari, Marwa dan Fadul tidak banyak bercakap. Mereka cuma bercakap apabila perlu sahaja. Fadul kini semakin tinggi dan tegap, kulitnya putih kemerah-merahan, wajah yang cukup sedap untuk dipandang. Ramai pelajar perempuan meminati Fadul kerana wajahnya yang tampan malah ada juga yang menjadi peminat rahsia dan meluahkan perasaan melalui surat cinta gara-gara cinta. Oleh sebab itulah Marwa tidak mahu terlalu rapat dengan Fadul kerana bimbang jika ada peminat-peminatnya yang cemburu dengan mereka kerana digandingkan dalam program Pengawas sekolah tersebut.

Fadul memandang Marwa yang sedang memerhati pelajar-pelajar yang baru datang ke sekolah. Dia hairan dengan gadis yang berdiri di hadapannya kini, Marwa tidak seperti pelajar perempuan yang lain yang apabila sahaja berhadapan dengannya pasti akan teruja dan bercakap dengan banyaknya untuk mengenali Fadul dengan lebih dekat. Malah, pengawas-pengawas baru yang perempuan yang sama bertugas dengan mereka juga tidak habis-habis bertanyakan itu dan ini tentang dirinya manakala Marwa pula hanya mendiamkan diri di tempatnya. Mereka berdua agak jauh sedikit daripada kelompok pengawas lain ketika itu.

“ Namamu siapa?” tanya Fadul. Ya, sejak hari itu mereka masih belum berkenalan dengan sepenuhnya. Sebelum ini, Fadul hanya menjalankan tugasnya untuk menjelaskan tugasan yang perlu dibuat oleh Marwa sebagai pengawas. Marwa menoleh ke arah Fadul dan kemudian tersenyum.

“ Nama saya Marwa. Namamu?” Marwa pura-pura bertanya sedangkan dia sebenarnya tahu siapa Fadul. Orang yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dahulu dan sekarang bertanya siapa dirinya.

“ Nama saya Fadul. Beginilah suasana setiap pagi di sekolah, sesak dengan kereta dan kenderaan lain dan kadang-kadang boleh menyesakkan mata untuk melihatnya,” kata Fadul. Marwa hanya mendiamkan diri. Fadul sedar bahawa Marwa seorang yang cantik dan pandai menjaga diri sendiri. Padahal sebenarnya Marwa sedang berfikir tentang perkara yang lain. Dia sedang berfikir tentang masalah pelajarannya di dalam kelas. Dia tidak berapa faham dengan topik Matematik pada minggu lepas dan ini menyebabkan Marwa risau kerana ujian pertengahan bulanan tidak lama lagi menjelang tiba.

“ Hei, saya bercakap dengan kamu!” panggil Fadul. Marwa tersentak dari lamunannya lalu terus menoleh ke arah Fadul. Ada rasa geram dalam hati Fadul kerana Marwa tidak mempedulikan kehadirannya. Fadul pun meninggalkan Marwa di situ seorang diri dan menyertai pengawas lain yang ada beberapa jauh daripada mereka tadi. Marwa sedar dengan kesilapannya lalu mengekori Fadul.

“ Maafkan saya. Saya sedang berfikir tentang hal lain semasa kamu bercakap dengan saya,” kata Marwa. Fadul hanya memberi sekilas pandangan kepada Marwa.

“ Apa yang kamu nak beritahu tadi?” tanya Marwa lantas Fadul berpaling ke arahnya. Mata mereka bertentang seketika menyebabkan Marwa tertunduk-tunduk kerana tidak biasa dengan pandangan yang terlalu lama dengan lelaki yang bukan mahram. Belum sempat Fadul menjawab pertanyaan Marwa, Cikgu Dasuki menuju ke arah mereka berdua dan mengarahkan mereka untuk bertugas mengawasi kawasan kantin.

Tidak lama kemudian, mereka pun menuju ke kantin bersama-sama. Tiada suara yang keluar dari mulut mereka berdua sehinggalah Fadul tiba-tiba berhenti dan meluru ke arah Marwa. Marwa pula cuba mengundurkan diri agar tidak terlalu rapat dengan Fadul.

“ Sebagai pengawas, kita perlulah menjadi seorang yang sentiasa prihatin akan keadaan sekeliling. Ketiadaan sikap prihatin barangkalinya nanti akan menyebabkan peraturan sekolah ni gagal dipelihara. Faham?” tanya Fadul. Marwa menganggukkan kepalanya tanda faham.

“ Ya, saya faham!”

“ Bagus,”

Loceng pun berbunyi menandakan masa pertama sesi persekolahan pada hari itu bakal bermula. Semua wali kelas mengambil kehadiran pelajar-pelajar mereka masing-masing. Marwa pun telah sedia ada di dalam kelas lima minit sebelumnya. Hari itu dia mendapat pelajaran yang baru daripada Fadul dan dia menghargainya. Memang silapnya juga kerana tidak menumpukan perhatian yang serius dalam menjalankan tugas. Fadul seorang yang bertanggungjawab dalam tugasannya. Kadang-kadang, Marwa tertanya-tanya mengapakah Fadul boleh berubah sedemikian rupa. Padahal dahulu Fadul pernah dilucutkan jawatan sebagai pengawas sekolah rendah kerana mempunyai imej yang buruk apabila berdua-duaan dengan Serina. Peristiwa itu masih segar di ingatan Marwa tentunya. Syarah, Mira dan Ain juga ada di dalam kelas tersebut.

Easter yang berada di sebelahnya mengeluh kecil sambil memandang ke arah Marwa. Marwa terdengar akan keluhan Easter lalu memulakan bicara.

“ Kenapa ni, Easter?” tanya Marwa.

“ Kamu ni membosankan lah, Marwa,” kata Easter dalam nada sedikit bergurau. Marwa terkejut dengan perkataan yang keluar daripada mulut Easter. Fikirannya mula mencari kata putus sama ada apa yang dilakukannya sebelum ini ada menyebabkan Easter berasa kecil hati. Lama Marwa dan Easter diam barulah Easter bersuara sambil ketawa kuat sehingga menganggu ketenteraman kelas pada pagi itu.

“ Main-main saja,” kata Easter. Ketawa pun berderai antara mereka berdua. Semenjak itu, Marwa dan Easter menjadi semakin rapat. Marwa begitu tekun di dalam kelas mendengar setiap apa yang diajar oleh guru. Dia tidak mahu terlepas walau sedikitpun ilmu yang disampaikan oleh gurunya. Baginya, biarlah dia menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas dan nantinya di rumah dia hanya perlu mengulang balik apa yang telah dipelajari dan membuat sedikit latihan berkenaan dengan tajuk mata pelajaran pada hari tersebut.

Pada masa rehat, Marwa kerap kali berkunjung ke perpustakaan untuk meminjam beberapa buah buku rujukan untuk menjadi rujukan Marwa dalam pelajaran. Jika disebut tentang teknik belajar, Marwa seorang yang suka belajar tentang sesuatu pelajaran dengan bersumberkan rujukan yang pelbagai untuk menambah pengetahuannya baik dari segi pengetahuan am ataupun khusus. Malah, pernah sekali Fadul menemankan Marwa seketika untuk ke perpustakaan apabila Marwa hendak memulangkan kembali buku yang dipinjam. Setelah itu, Marwa terus menumpu perhatiannya pada tugasannya sebagai pengawas.

Fadul begitu serius dalam mengajar Marwa untuk menjadi pengawas yang berkaliber. Mereka berdua dapat dilihat ke sana ke mari bersama-sama, begitu juga dengan pengawas lain yang sama melalui latihan pengawas dengan mentor masing-masing. Namun pada pagi yang indah itu, Fadul mengalami demam panas tetapi tetap juga turun ke sekolah.

Dalam keadaan terbatuk-batuk, Fadul memberitahu Marwa tentang tugasan mereka pada hari itu. Mereka berdua sedang berada di kantin. Banyak pelajar perempuan yang mengekori Fadul daripada belakang dan mengawasi Fadul. Mereka semua bimbang dengan keadaan Fadul yang kurang sihat. Hal ini dapat dilihat apabila Fadul duduk sebentar di kantin. Pelajar-pelajar perempuan yang tadi terus meluru ke arah Fadul dan memberi air mineral dan panadol barangkali. Namun, Fadul tidak mempedulikan mereka semua. Dia hanya duduk dan menahan sakit di dalam perutnya. Doktor memberitahu bahawa Fadul juga mengalami gastrik.

“ Lebih baik kamu berehat sahaja hari ini,” cadang Marwa.

“ Saya memang nak buat macam tu. Tapi, masalahnya sekarang saya tak nak terlepas sedikit pun masa pelajaran di dalam kelas,”

“ Saya cuma beri pendapat sahaja. Tak apa sama ada kamu terima atau tidak,”

“ Saya memang nak berehat tapi seperti yang saya cakap tadi saya tak nak terlepas sedikit pun kelas hari ni,” kali ini Fadul kedengarannya sedikit meninggikan suara. Semua pelajar perempuan yang sejak tadinya berada di samping Fadul menoleh ke arah Marwa dengan pandangan yang penuh curiga. Marwa dapat merasakan bahawa Fadul memarahinya kerana terlalu mengambil berat akan kesihatannya.

“ Saya hanya memberi pendapat sahaja, nanti jika terlalu lama boleh timbul salah faham dan saya tak nak nantinya akan timbul persengketaan,” kata Marwa sambil melihat peminat-peminat Fadul dan kemudian ke arah Fadul sendiri. Pada mulanya, Fadul tidak dapat mengerti akan apa yang diberitahu oleh Marwa kepadanya.

Peminat-peminat Fadul pun secara serentak meluru ke arah Marwa dan meminta Marwa untuk pergi daripada situ agar tidak mengganggu Fadul. Setelah lama mereka berbincang dengan Marwa akhirnya Marwa beredar. Fadul masih lagi tertanya-tanya maksud di sebalik kata-kata Marwa sebentar tadi. Termasuk hari itu, sudah lebih tujuh bulan mereka berdua berkenalan dan menghabiskan masa bersama untuk menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah tersebut. Menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing Marwa menjadi pengawas yang berkaliber. Tanpa disedari, Marwa merasa hatinya disakiti dengan perbuatan Fadul terhadapnya sebentar tadi. Dia tidak menyangka akan dimarahi oleh Fadul pada hari itu.

Pohon-pohon semalu saling menutupi antara satu sama lain tatkala Marwa melalui kawasan berumput berhampiran kantin tersebut. Pohon semalu juga dicipta oleh Allah SWT untuk memiliki duri. Indahnya seorang perempuan dan juga seorang muslimat mempunyai personaliti yang sedemikian. Di sebalik kelembutan, kebijaksanaan, kasih sayang, kehebatan, malah ketegasannya terselit sifat malu yang menjadi benteng ke atas dirinya yang mana menjadi pelindung bukannya merendahkan. Sayangnya pada hari ini, terlalu banyak yang sudah berubah, perempuan sudah semakin hilang malu malah maruah pula mudah tergadai begitu sahaja. Di sana sini, dapat dilihat perempuan berpegangan tangan dengan pasangan yang bukanlah suami mereka lebih teruk lagi apabila ada yang sanggup menjual diri dengan harga yang murah.

Betapa besarnya keindahan yang diberikan oleh Allah SWT kepada makhluk bergelar wanita. Sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah wanita solehah. Wanita di dunia ini lebih tinggi darjatnya daripada bidadari diukur dari segi ketaatan dan kepatuhannya walau digoda oleh hawa nafsu dan sebagainya. Allah SWT juga yang memegang hati-hati manusia sama ada Dia mahu memilih kita untuk mendapat hidayah-Nya atau sebaliknya. Barangkali kerana terpengaruh dengan arus perkembangan semasa atau mungkin juga merasa rendah diri dan tercabar dengan suasana yang memaksa diri untuk berubah menyebabkan wanita sudah dipandang sebagai kaum yang lemah dan mudah terpedaya dengan janji manis sang lelaki. Hati wanita ini lembut dan sangat mudah untuk dilenturkan jika berkait dengan perasaan kasih sayang terutamanya.

Fadul seorang diri di kantin. Hari itu, dia dan Marwa tidak bertugas seperti biasa kerana berlaku salah faham yang tidak disengajakan. Dia tidak pasti siapa yang bersalah dalam hal tersebut. Pada masa yang sama, seorang pelajar perempuan sedang mengintai ke arahnya di sebalik pentas yang ada di kantin itu. Ada riak senyuman di wajah pelajar tersebut menandakan ada sesuatu yang menggembirakan telah sahaja berlaku.

No comments:

Post a Comment