(from My Collections of Articles)
>
>Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula
>bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati
>ini selain melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar
>baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki ke
>sebuah pusat pengajian Islam. Memang ayah bonda
>menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan
>engkau menjadi orang yang terpelajar dan berguna
>kepada mereka, kepada agama dan kepada negara.
>Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama menjengah diri
>melihat muka-muka kalian. Kalian adalah ibarat rahmat
>kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat
>ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami
>ceritakan segala-galanya nanti!
>Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan
>minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang
>ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat
>berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian
>bersolat jamaah dan berma’thurat sama-sama. Kalian di
>dudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan
>kaki ke malam terakhir pengenalan.
>Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan
>gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian
>yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian
>yang akan mewarisi jejak kami?
>Memang kami mengentahui dan menyedari.. kalian datang
>dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat
>segulong sijil yang nantinya akan dipersembahkan
>kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan
>ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan
>itu semua tidak langsung penting bagi kami.
>Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita
>sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi.
>Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra.
>Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam
>pengalaman hidup kita?
>Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh.
>Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu
>kepala. Kemudiannya tidur diatas lantar tanpa
>hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan
>yang mungkin sukar dilupakan.
>Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan
>cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi
>untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami
>fikirkan?
>Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba
>pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan
>tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat
>manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan
>perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi
>di masa terdekat.
>Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik
>untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami
>adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan
>dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi.
>Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian..
>disamping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan
>ilmu.
>
>Akhirnya …
>Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian
>menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk
>bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta
>kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin
>memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah
>memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas
>segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.
>
>Bermulalah satu episod baru dalam hidup kita. Mungkin
>kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam
>baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah
>berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam
>gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat
>dunia berubah ke arah Islam.
>Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini.
>Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu
>dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi
>kalian telah berjaya menolak itu semua. Walaupun kawan
>dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian
>kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah
>buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk
>memahami Islam yang masih banyak yang perlu
>dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita
>TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana
>masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu
>semua.
>Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk
>asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di
>mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri
>bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang
>sedang tidur di lantai bumi.
>Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui
>bersama kami !
>
>Kami cuba memberi apa yang kami terdaya.
>Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang
>yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan
>kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan
>dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing
>dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang
>sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak
>ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin
>membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat
>paling tinggi yang sepatutnya.
>
>Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian
>mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin
>kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat
>berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula
>menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula
>melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula
>bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih
>gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali
>untanya yang hilang di padang pasir !
>
>Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami
>adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah
>sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan
>bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah
>memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu
>adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu
>kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta.
>Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana
>susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya
>harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami
>terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk
>kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi
>yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya
>telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat
>fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan
>isinya !
>
>Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga
>ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup
>seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak
>memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai.
>Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung
>minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang
>untuk menikmati hari-hari perlancongan dan santai
>tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan
>kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat
>demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang
>akan menyelamatkannya?
>
>Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami
>untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya..
>namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri.
>Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan
>kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita !
>Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan
>bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian
>telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah
>menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama
>obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap
>di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita
>kami.
>
>Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji
>mahal. Kami tidak sanggup menjanjikan jawatan selepas
>kalian keluar. Itu semua adalah suatu yang kerdil bagi
>kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau bagaimana
>keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu
>semua ialah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam
>kancah dunia yang sedang bergelumang dengan
>materialisma yang tidak mampu diharungi oleh manusia
>biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian
>dengan kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami
>mahukan kalian menjadi manusia yang akan membawa
>manusia lain untuk bersama-sama dalam perjuangan kita
>yang masih panjang.
>
>Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami
>bahawa apa yang kita buat ini bukan kerana tempat
>belajar kita. Bukan kerana wajib atau ingin menjaga
>hubungan dengan pensyarah. Bukan kerana markah atau
>prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat
>kalian dengan itu semua. Kami membawa kalian ke luar
>sana… berjumpa dengan mereka yang telah mendahului
>kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara..
>berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua
>adalah se jalan dengan kita.. berjuang menegakkan
>fikrah yang sama!
>
>Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah
>ke garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan
>tekun. Kalian langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan
>bosan. Walaupun telah ada dikalangan kalian yang telah
>kecundang setelah beberapa lama, namum kalian masih
>thabat teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita
>perlukan disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan
>jamaah dan ketaatan. Kerja kita perlukan syura dan
>perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah begitu
>lama memimpin tangan kita sejak kita masih
>bertatih-tatih di permulaan perjalanan. Kerja kita
>memerlukan kita tidak putus dan bersama dengan jamaah
>di mana saja kita berada.
>
>Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati
>kami melepaskan kalian menuju ke destinasi
>masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk
>mendengar deringan telefon dari kalian.. menceritakan
>pengalaman baru kalian di kampung dan kawasan
>masing-masing.. setelah mendapat title baru bergelar
>‘DA’I’. Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan
>dari kalian .. bercerita bagaimana kalian telah mula
>mengumpul mad’u-mad’u baru ditempat kalian. Betapa
>gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula ke
>sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan
>akhawat di tempat baru kalian. Kami tidak dapat
>bayangkan bagaimana gembiranya hati kami bila
>mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji
>kesungguhan dan semangat yang kalian tunjukkan. Ketika
>itulah kami akan mengurut dada gembira… airmata kami
>berlinangan kegembiraan.. betapa tanaman kami telah
>menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian
>bersama tidak sia-sia !
>
>Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan
>kesibukkan melayan adik-adik kalian yang terus tiba
>semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis
>kepada kalian. Mereka bersemangat untuk meneruskan apa
>yang telah dilakukan oleh kalian. Mereka masih ingat
>ketika kalian bersama-sama mereka di usrah, tamrin,
>dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah
>yang mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit
>sebanyak. Kami terus membantu mereka sekadar kemampuan
>kami ini.. agar mereka menjadi seperti kakak-kakak dan
>abang yang telah tamat belajar.
>
>Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk
>warkah atau sedering telefon… atau sepatah salam dari
>musafir yang pulang. Namum bayangan masih kelam.
>Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati
>kami mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada
>anak-anak kami yang telah pergi?
>Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau
>kepada ikhwah dan akhawat yang berjiran.. dimana
>anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si
>anu? Jawapan negatif membimbangkan kami tentunya.
>
>Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi
>kami.. cukuplah tempoh yang bernama bulan untuk
>menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati
>kita sentiasa di intai syaitan. Tidak ada manusia yang
>boleh mendakwa dia akan kuat tanpa jamaah. Tidak akan
>ada kambing yang tidak keseorangan yang tidak di makan
>serigala bila keseorangan.. kerana memang serigala ada
>di mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang
>ketajaman sensitif terhadap matlamat kita. Kita sudah
>boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan
>perjuangan kita. Suatu yang begitu membara di dalam
>hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan
>tinggal dingin.
>
>Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian…
>jika ketika berpisah kami menjangkakan kami akan
>menitiskan airmata kegembiraan mendengar ketangkasan
>dan keaktifan kalian… tetapi … titisan sebaliknya mula
>mengalir..
>Apa yang telah terjadi kepada kalian?
>Apa yang telah kalian lakukan?
>Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami
>tidak dapat menahan air mata lagi. Bersama baris-baris
>yang keluar… kami iringi dengan cucuran yang tidak
>dapat ditahan..!
>
>Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu
>cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah
>berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih
>panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan
>telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan
>yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam
>dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di
>hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan
>menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama
>mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi
>pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.
>
>Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin
>terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang
>merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya..
>suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya
>selama ini, itu semua adalah sebuah lakunan.
>Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi
>bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah
>penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah
>bebas.
>
>Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa
>kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin
>kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua..
>tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira
>kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami
>itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba
>berlaku?
>
>Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang
>paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian
>telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami
>berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk
>untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan
>untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana
>sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping
>sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita
>pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan
>tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan
>diri untuk dipanggil anak derhaka?
>Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si
>anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima,
>mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian
>kertas ditinggalkan.. mungkin dakwat pena terlalu
>berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar
>dengan hiba dan air mata mengalir lagi.
>
>Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka
>terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka
>sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan
>mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka…
>mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum
>setelah berjaya .. sepatah perkataan pun tidak
>didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan.
>Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang
>dicampakkan ke tong sampah!
>
>Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari
>kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang
>ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami
>akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah
>masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul
>tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit
>sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya
>agar ada tenaga baru untuk Islam.
>Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada
>pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan
>dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian
>telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai
>sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian
>menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah
>tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu
>adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji
>untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut
>janjiNya dari kalian.
>
>Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula
>terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang
>yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa
>tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung
>dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan
>kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian
>telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja
>Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerja
>besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan
>jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib
>dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula
>membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan
>dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri
>kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam
>kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah
>bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?
>
>Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan
>berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan
>wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti
>kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu
>mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian.
>Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak
>yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam!
>Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan
>dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak
>derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan
>dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan
>dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan
>curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik
>tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua
>hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah
>mudah berangan dan berazam!
>
>Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih
>berat dari bebanan tugas ke sana ke mari mengendali
>program dan mendidik kalian. Apa sangat berat berjaga
>malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan
>mendengar masalah kalian jika hati kami gembira
>melihat hasilnya. Apa sangat itu semua jika hati
>bahagia melihat kalian menjadi orang yang akan
>mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan
>beban hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat
>kalian telah menerangkan bumi yang gelap seluruh
>pelusuk bumi.
>
>TETAPI… sekarang kami telah kehilangan segala-galanya.
>Ketenangan yang kami ingin cari melalui pengorbanan
>ini telah juga hancur. Bahkan ianya lebih berat dari
>bebanan fizikal dan material. Kami telah melalui
>beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya
>menyimpulkan kepada kami bahawa kami hanyalah manusia
>tak berguna dan pengganggu dalam hidup kalian.
>Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha
>mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah
>ada… Apakah kalian sedar?
>
>Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah
>kalian dengan sijil yang telah diperolehi dari sini
>untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah
>hidup demi mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui
>jalan yang kalian pilih sendiri. Kami tetap memilih
>ketenangan dan kebahagian melalui jalan kami sendiri.
>Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya
>akan menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah
>yang menyebabkan kalian jadi begitu. Mungkin kami
>belum memberikan yang terbaik untuk kalian. Mungkin
>kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami
>korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!
>
>Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak
>mengharapkan kepada kalian lagi. Jika kalian mahu
>terus hidup sebagaimana manusia lain… teruskanlah.
>Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh
>berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan
>kami dan kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan
>kalian untuk hidup. Dakwah adalah satu yang kuat dan
>kukuh kerana ia berhubung dengan Allah Yang Maha
>Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh
>bersama orang lain jika kita enggan. Tatapi apa
>ertinya hidup kita tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa
>dan roh kita. Jika kita berpisah darinya…. Kita
>sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat
>bunga yang telah dipetik dari pokoknya !
>
>Tinggalkanlah kami menangisi anak-anak yang telah
>pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih sayang
>yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak
>seindah dunia yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta
>itu dikutip oleh manusia lain yang tahu menilainya.
>
>Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta
>kami tidak bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu
>murah. Kami berkorban untuk kalian lebih dari anak dan
>saudara kami sendiri, kerana bagi kami tali akidah dan
>fikrah lebih kukuh dan erat dari tali kekeluargaan.
>Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging
>dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang
>kami ada. Kerana kami tahu.. kalian adalah penerus
>generasi da’I yang hampir pupus. Apakah kalian tidak
>merasainya?
>Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal
>untuk kalian. Kami tidak membelikan pakaian indah
>untuk kalian. Tetapi apa erti makanan dan pakaian jika
>kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah..?
>Hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia
>sebenarnya ialah yang merasai kecintaan yang diberikan
>kepadanya walaupun sebentar".
>Berapa lamakah kecintaan yang telah kami berikan
>kepada kalian… apakah kalian tidak merasainya?
>
>Kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami
>buat-buat untuk mengubat rindu kepada kedamaian
>semalam yang telah tiada lagi. Senyuman untuk
>menandakan kami masih mampu berlakun dengan hati yang
>telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami,
>hulurkan tangan kalian untuk kami salami…. Tetapi hati
>ini tidak mungkin terubat tanpa penghayatan dan
>penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa
>kita di sini!
>
>Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami
>dan merasai cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai
>kekasih lain… pergilah.. semoga kekasihnya akan
>memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami…
>di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.
>
>Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian
>lakukan, maka bersedia kalian untuk menerima sahamnya.
>Kalian telah mengecewakan kami sedikit sebanyak.
>Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya lagi
>kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami
>merasakan sudah tidak wujud lagi harapan di dunia ini.
>Apa tidaknya.. keseluruhan anak-anak kami tidak dapat
>meneruskan usaha kami? Jika itu yang berlaku kepada
>yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?
>
>Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan.
>Moga adik-adik kita di sini dan di luar sana dapat
>menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita
>sama-sama tidak ingin padam.
>
>
>Wassalamu’alaikum.
>CATATAN SEORANG NAQIB YANG HINA
No comments:
Post a Comment