6.07.2011

Ujian | Bertudung Labuh...?

Assalamualaikum….peringatan lagi buat diri dan juga para pembaca blog sekalian. Saya terpanggil untuk share sesuatu yang selama ini saya sangat cuba untuk mengshare tapi tak da kekuatan untuk melakukannya. Isu bertudung adalah wajib bagi semua perempuan yang beragama islam. Hal ini disebut sendiri dalam surah an-Nur ayat 30 dan 31. Hal bertudung juga disebut dalam surah al-Ahzab.

Bertudung dan menutup aurat? Macam mana tu? Bertudung hendaklah sampai menutup bahagian dada. Namun perlu diingatkan bertudung adalah suatu kewajipan,apabila seseorang itu bertudung dan menutup aurat sepenuhnya maka kewajipan itu telah dipenuhi. Namun ada lagi yang perlu diperbetulkan setelah itu. Niat dan akhlak seseorang yang memakai tudung. Begitu juga, kita hendaklah ikut syariat.

Niat. Niat perlu seiring dengan kita bertudung. Niat hanya kerana Allah SWT, bukan mahu dipandang orang sebagai orang yang alim dan bukan juga untuk menunjuk-nunjuk akan keupayaan diri untuk bertudung especially yang bertudung labuh. Allah SWT mencipta wanita dengan perhiasannya yang menarik lawan jantina.

Sebab itu Allah mahu menjaga makhluknya yang satu ini dengan memakai tudung dan menutup aurat sebaik mungkin. Hanya dengan ini sahajalah perempuan-perempuan muslim dapat dibezakan antara perempuan-perempuan bukan muslim.

Kita akui, terkadang syaitan membisikkan perasaan ujub, takbur dan riak apabila bertudung labuh. Merasa diri lebih baik daripada orang lain adalah antara bisikan syaitan yang cuba mengaburi pandangan si pemakai terhadap konsep bertudung labuh. Namun begitu, semuanya masih juga berbalik kepada bagaimana kita nak menghadapi bisikan-bisikan jahat tersebut?

Ikhlaskan niat hanya kerana Allah SWT dan setiap perbuatan kita itu kenalah ikut syariat Allah SWT. Contohnya anda diberikan beberapa bahan untuk memasak dan anda tidak tahu apa masakan yang nak dibuat kerana anda hanya diberi bahan-bahan masakan tersebut. Lalu yang didapati ialah garam, kari, telur atau ayam, tepung, minyak dan sebagainya.

Kini terpulang kepada kita untuk memasak apa? Bagitulah juga kehidupan. Allah memberi kita banyak nikmat mahupun ujian yang tersendiri, terpulang kepada kita mahu membuat apa dengan menggunakan bahan-bahan tersebut. Barangkali untuk membuat murtabak ayam, karipap, mahupun roti canai. Menggunakan bahan-bahan itu untuk menjadi sesuatu yang berguna yakni untuk dimakan, menambah nutrient di dalam badan.

Menggunakan nikmat mahupun ujian yang diberi oleh Allah SWT untuk menjadi pula insan yang berguna pada diri dan orang lain. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan udara yang percuma pada diri manusia. Tiada caj mahupun bil yang dikenakan untuk setiap nafas yang disedut ke dalam jantung melalui hidung. Bayangkan berapa banyak kalikah kita menyedut nafas setiap hari?

Barangkali kita terleka sejenak lalu menukar bahan-bahan tadi untuk menjadi sesuatu yang tidak berguna pula. Bersyukur kepada Allah SWT itu boleh menjadi nikmat dalam kehidupan seharian. Merasa cukup dengan apa yang telah diberi mahupun nikmat dunia atau ujian yang mendatang. Nikmat iman dan islam merupakan sesuatu nikmat yang paling besar diberikan oleh Allah SWT.

Cukuplah Allah menjadi sandaran tatkala orang lain mula berjauhan dari kita. Cukuplah Allah menjadi tempat untuk mengadu jika tiada tempat lagi untuk mengadu. Cukuplah Al-Quran dan ilmu menjadi teman tatkala seorang diri menghadapi ujian yang diberi.

Bertudung labuh juga merupakan ujian yang diberi oleh Allah SWT walaupun kita telah sedia maklum bagi yang bertudung sudah biasa melalui hari-hari dengan bertudung. Allah menguji kita setelah bertudung labuh, adakah kita melakukannya kerana Allah SWT? Adakah kita menggunakannya kerana keadaan semata-mata?

Ianya lebih daripada itu. Bertudung adalah suatu kewajipan yang harus dilaksanakan. Cubalah untuk istiqamah apabila sudah bertudung labuh menutupi dada dan aurat-aurat yang lainnya. Syaitan sentiasa cuba untuk membolak-balikkan niat kita apabila bertudung. Apatah lagi, bertudung labuh merupakan sesuatu yang agak asing bilamana si pemakainya berada di tempat atau negeri atau negara yang jarang menggunakan tudung tersebut.

Inilah ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Persepsi masyarakat pada orang bertudung labuh adalah orang alim dan orang yang baik akhlaknya. Lalu sedikit sahaja kesalahan yang mereka lakukan akan menjadi fitnah terhadap agama lalu mengubah pula persepsi masyarakat terhadap golongan bertudung labuh tapi akhlak buruk, baik pakai tudung macam biasa asalkan menutup aurat yang sepatutnya.

Inilah jua yang mungkin menghalang seseorang untuk bertudung labuh. Bertudung labuh nantilah, tunggu akhlak baik terlebih dahulu? Lebih teruk lagi apabila seseorang menjadi tidak mahu bertudung gara-gara persepsi yang sedemikian. Namun kita kena akui juga, mereka yang bertudung labuh itu adalah juga manusia, sedang merangkak untuk menjadi lebih baik setelah menggunakan tudung labuh sebagai pakaian seharian. Bukan mudah untuk membuat keputusan seperti itu.

“ Kau pakailah tudung labuh tu dulu, aku rasa aku belum bersedia lagi,” -Dialog-

Itulah antara kata-kata yang kita keluarkan apabila ditanya mengapa tidak bertudung labuh. Bertudung hendaklah sejajar dengan kemampuan seseorang individu namun maksud kemampuan seseorang individu tidak bermaksud bahawa seseorang itu tidak bertudung pula kerana belum merasa mampu. Bertudunglah kerana ia adalah perintah Allah SWT dan disebut sendiri dalam kitab suci Allah yang kita imani, Al-Quran. Yang sentiasa dipelihara olehNya dari dulu sehingga kini dan sehingga hari kiamat nanti. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatNya.

Mati. Kematian merupakan sesuatu yang dirahsiakan pengetahuannya dari manusia oleh Allah SWT. Berbalik kepada dialog di atas tadi. Bilakah masanya kita mahu menjadi bersedia? Kita tidak tahu bila nyawa kita diambil, bukan? Bertudunglah anda terlebih dahulu mengikut niat kepada Allah dan syariat-Nya.

Percayalah, selepas itu dengan izin Allah juga, Dia pasti akan membimbing kita untuk memperbaiki akhlak pula selepasnya. Segalanya tidak mustahil kerana Allah Maha Berkuasa. Contohnya mungkin suatu hari nanti dengan izin Allah SWT, hati-hati kita mula digerakkan oleh Allah SWT untuk membaca buku-buku tentang bertudung mahupun cara menperbaiki akhlak. Dan tidak mustahil juga Allah menghantar pula makhluk-Nya sendiri untuk menjadi perantaraan bagi membantu kita memperbaiki akhlak setelah bertudung. Ujian dan nikmat yang diberikan oleh-Nya setelah kita bertudung juga mampu menjadi pembimbing untuk kita memperbaiki akhlak.

Tepuk dada, buka minda tanyalah hati. Bertudunglah anda walau dimana anda berada. Baik di tempat asing mahupun di tempat yang bukan asing. Walaupun anda dikata begini dan begitu, walaupun anda dipulau atau dipandang serong. Teruskanlah bertudung dengan niat kepada Allah SWT dan ikut syariat dan mengikut kemampuan diri. Kerana dikhuatiri jika melampaui kemampuan diri nantinya tidak akan istiqamah dalam amalan bertudung itu lalu terputus pula amalan bertudung. Cukuplah Allah sebagai tempat bergantung.


Peringatan jua buat diri sendiri yang sedang memperbaiki diri...:)

2 comments: