Detik-detik waktu kian menghampiri Marwa untuk meninggalkan Bintulu. Begitulah masa, berakhir tanpa kita sedari. Lapangan Terbang Bintulu itu penuh sesak dengan orang ramai, tambahan pula itu adalah musim para pelajar untuk menyambung pelajaran mereka. Tidak kurang juga yang datang seorang diri, berdikari mungkin juga musafir yang datang dari tempat yang jauh. Anak-anak kecil berlarian bermain-main, sudah tidak peduli lagi dengan situasi yang penuh sesak dengan manusia. Bintulu merupakan salah sebuah bandar di Sarawak yang membekalkan petroleum baik dalam negeri mahupun luar negeri termasuk sehingga mencecah peringkat antarabangsa. Suatu nikmat yang dicurahkan oleh Allah kepada bumi ciptaan-Nya ini, untuk dimanfaatkan oleh manusia sebagai khalifah-Nya.
Di suatu sudut, Naurah Nawwarah sedang menunggu rakannya, Marwa. Turut bersamanya ketika itu adalah bapa, Encik Jaafar dan adik perempuannya, Aisyah. Encik Jaafar seorang yang agak tinggi, berhidung mancung, ada garis-garis halus di wajahnya yang menunjukkan bahawa Encik Jaafar berumur dalam lingkungan 50-an. Berdebar hati menanti saat tiba ke destinasi yang asing buat dirinya dan Marwa. Sudah hampir setengah tahun mereka menunggu saat menyambung pelajaran. Cuaca agak panas membahang dek matahari yang menjalankan perintah-Nya. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Suatu mesej diterima, daripada Marwa.
Salam ya ukhti...ana mungkin lambat sikit, ana nak jumpa dengan seseorang sebelum ke sana. Afwan.. –Marwa Insyirah
Mereka ada sejam lebih lagi untuk berlepas dan kini, Marwa masih belum lagi sampai ke Lapangan Terbang Bintulu. Naurah menjadi kefikiran perihal rakannya yang tiba-tiba menunda waktu untuk ke sana, padahal mereka sudah bercadang untuk datang pada masa yang sama. Hal inilah yang dikatakan sebagai takdir, kita manusia hanya mampu merancang, sebaliknya Allah SWT sahajalah yang menentukan segala sesutu yang terjadi di dunia ini baik yang tersembunyi mahupun yang tampak. Begitu lemahnya manusia untuk melawan ketentuan Allah SWT Yang Maha Berkuasa lagi Maha Besar. Naurah berbaik sangka kepada rakannya itu. Aisyah yang berada di sampingnya bersandar ke bahunya, kanak-kanak yang berumur 10 tahun itu begitu comel dengan tudungnya yang labuh berwarna-warni.
Marwa bergerak maju ke Madrasah Al-Quran, sebuah institusi pendidikan berunsur Islam. Madrasah Al-Quran berada tidak jauh dari tempat tinggalnya, tempat di mana Marwa baru berjinak-jinak mengenali Islam yang sebenar suatu ketika dahulu. Kenangan manis itu masih segar di ingatannya meskipun telah lama berlalu dan setiap kali teringatkannya Marwa tersenyum sendiri pada dirinya dan masa lalu. Kini, dia sudah terlibat dengan usrah bersama naqibahnya, Kak Humairah.
Kak Humairah merupakan anak kelahiran negeri Kedah yang merantau ke Bintulu untuk bekerja di sebuah perusahaan petroleum dalam bidang kejuruteraan. Seorang yang gigih dan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan baik duniawi dan ukhrawi, kulitnya hitam manis dan bertubuh sederhana.
Entah kenapa, wajah itu tiba-tiba muncul lagi di mindanya. Fadul. Agak sukar untuk Marwa melupakan lelaki itu sehingga ke hari ini kendatipun dia tahu Fadul adalah lelaki bukan mahramnya,dia mungkin jatuh ke lubuk zina hati jika berterusan begini. Ya, kadangkala dia melupakan wajah itu kerana itu adalah cerita dahulu. Marwa mahu menumpukan segala perhatiannya kepada tarbiyah diri dan orang lain, tetapi wajah itu kerap kali mengganggunya. Apakah saya sudah melepasi sayonara jahiliah saya? Soalan itulah yang sering masuk ke dalam fikirannya tatkala wajah itu terpacul dalam fikirannya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada Marwa sebelum hari dia sedang melangkah untuk ke Madrasah itu? Mungkin ada juga yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi sehingga mengubah Marwa menjadi seperti sekarang? Apakah yang terjadi di antara Marwa dan Fadul sehingga ke hari dia sedang melangkah ke Madrasah Al-Quran? Bagaimana Marwa bertemu dengan Naurah dan Kak Humairah? Adakah para pembaca berminat mengetahuinya walaupun ceritanya agak panjang untuk dihuraikan di sini? Walau apapun jawapan anda, di sinilah ceritanya berlaku.
Marwa memasuki kelasnya yang berada di Blok D, kelas 1B. Ada beberapa orang pelajar lebih awal sampai daripadanya, mereka duduk di tempat duduk yang dipilih mengikut kesukaan dan keselesaan sendiri. Suasana diam tanpa banyak bicara kerana masing-masing baru pertama kali bertemu dan berjumpa. Tidak kurang juga sekumpulan pelajar di sudut tingkap sebelah kanan yang sibuk berbual-bual, barangkali datang dari sekolah rendah yang sama. Mereka memerhati Marwa yang mengambil tempat duduk di belakang sekali.
Marwa kini bersekolah di peringkat tingkatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mardhiah. Sekolah itu terletak di atas bukit berdekatan dengan Perkuburan Orang Islam di Bukit Kemunting, bangunannya tinggi empat tingkat yang bersambung-sambung antara satu sama lain lalu membentuk segi empat sama di mana kawasan tengahnya adalah padang. Dua buah gelanggang masing-masing terletak di hadapan dan belakang sekolah, bangunan kantinnya pula terpisah sedikit daripada struktur bangunan yang membentuk segi empat sama. Terdapat mini pentas di dalam kawasan kantin yang dihiasi dengan jalur-jalur merah putih bendera Malaysia, diikuti dengan bendera negeri Sarawak.
Berdekatan dengan kantin adalah sebuah padang lagi yang agak besar yang mampu memuatkan sebuah stadium. Pemandangan di waktu pagi cukup indah untuk digambari. Tanahnya rendah sedikit daripada tanah di kawasan kantin dan yang lainnya. Ada sebuah tangga yang menghubungkan kawasan kantin dan padang besar tersebut, beberapa buah kerusi, meja panjang dan payung besar ditempatkan di sekeliling padang. Tandas-tandasnya pula dilengkapi dengan cermin besar, bilik-bilik tandas berjumlah dalam lingkungan sepuluh buah, ada kerusi panjang yang dihiasi dengan hiasan jubin di tengah-tengah ruangan tandas. Malah untuk melancarkan lagi pengawasan sekolah itu, beberapa kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam setiap tandas, kawasan bilik guru, kawasan terpencil seperti stor-stor, tangga-tangga termasuk juga pintu masuk utama sekolah itu.
Hari itu adalah hari pertama persekolahan bermula. Marwa mendapati ada segelintir daripada pelajar yang berada di kelas itu adalah rakannya di sekolah rendah yang sama iaitu Hazima dan Asri. Kedua-duanya duduk di hadapan sedikit dari tempat duduknya. Hazima adalah seorang gadis Kuala Segan yang berkulit sawo matang dan berpewatakan ceria menurut pandangan Marwa. Mereka berdua sentiasa bersama sejak di sekolah rendah Tahun 1. Rasa gembira kerana masih ditakdirkan untuk lebih lama bersama. Kuasa Allah SWT, menetapkan bahawa Marwa tetap bersama Hazima, pasti ada hikmah di sebalik segala sesuatu. Malah memang setiap sesuatu yang ditetapkan Allah SWT itu ada hikmah yang tersembunyi untuk kita eksplorasikan bersama. Bukankah Allah SWT menciptakan akal untuk manusia berfikir?
Mira pula berada di Tingkatan 1A. Mira mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lalu, dia mendapat 4A1B. Tahniah kepadanya, sebelum ini Mira begitu berusaha bersungguh-sungguh berjuang untuk peperiksaan yang lepas berbanding Marwa dan Jessica. Dia tidak mahu bertemu dengan Mira dahulu, tidak mahu mengganggunya menyesuaikan diri di tempat baru sepertinya juga. Jessica berpindah ke tempat lain tahun lalu dan kini bersekolah di sekolah menengah berdekatan dengan tempatnya tinggal bagi memudahkan perjalanan untuk ke sana. Itulah titik perpisahan antara Marwa, Mira dan Jessica. Marwa tidak tahu sama ada dia berkesempatan untuk bertemu dengan Jessica lagi atau sebaliknya.
Seorang pelajar perempuan tiba-tiba masuk ke kelas itu dan meluru ke arah Asri. Kelihatannya ada sesuatu yang terjadi antara mereka. Setahu Marwa, perempuan itu bernama Wasilah dan mereka berdua bercinta sejak dari sekolah rendah Darjah 6. Begitu berjaya rencana pihak musuh dalam menyerap budaya baru dalam kalangan kanak-kanak sehingga isu cinta ini turut memakan minda mereka yang masih mentah. Pengaruhnya pula berimpak negatif. Marwa tidak berapa mahu tahu tentang cerita antara mereka berdua. Wasilah merupakan seorang pelajar yang popular di sekolah rendah dahulu, itulah sebabnya Marwa tahu namanya siapa.
“ Apa hal?” tanya Asri. Suaranya kedengaran ke seluruh kelas. Wasilah sedang menggenggam sekeping kertas di tangannya, matanya bening dengan air mata. Lantas kertas itu diserahkannya kepada Asri, Asri pula bingung tertanya-tanya. Selama ini, hubungan mereka baik-baik sahaja. Malam tadi sahaja mereka berdua sempat ber-chatting sebelum tidur.
“ Kita berpisah sahaja,” kata Wasilah. Marwa tidak sepatutnya mendengar perbualan antara mereka, tetapi peristiwa itu berlaku di depan matanya,dia tidak dapat mengelak untuk tahu apa yang terjadi. Sama halnya dengan pelajar lain yang berada di dalam kelas itu. Hazima dan Marwa berpandangan bingung dengan peristiwa itu.
Asri membaca surat yang diserahkan oleh Wasilah kepadanya.
Abang Asri ku sayang, dah lama kita tak berjumpa. Kan kita dah janji untuk berjumpa lagi malah saya masih ingat tempoh hari kita exchange nombor. Saya pasti awak dan saya saling merindui, lupakanlah saja si Syil tu..dia kan tiada apa-apa pada Abang Asri...
Kekasihmu,
Nada
Perlahan-lahan, Asri memandang Wasilah yang sedang melihatnya. Rupa-rupanya, Asri menipu Wasilah selama ini. Hubungan mereka bukanlah didasarkan cinta seperti yang dirasakannya. Asri terdiam seribu bahasa sedangkan Wasilah sebenarnya menanti penjelasan daripada Asri, mana tahu hubungan mereka masih dapat diselamatkan. Malangnya tidak pula! Mereka berdua sama-sama diam, kelihatannya Asri sedang berfikir, dia sedang berada di dalam dunianya sendiri. Siapakah dirinya dan Nada kepada Asri?
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Jam menunjukkan tepat pukul 9.35 pagi. Hazima baru sahaja mahu mendapatkan Marwa apabila Iyas, Badri, Badihah, dan Hindun mempelawa Hazima untuk keluar bersama ke kantin. Ya, Iyas, Badri, Badihah, dan Hindunlah yang tadinya sibuk berbual di sudut tingkap sebelah kanan kelas pagi tadi. Jadi, mereka semua pun pergi ke kantin. Tidak terkecuali, Mira turut dibawa bersama. Perbualan antara mereka semua lebih kepada kejadian yang berlaku pada awal pagi tadi iaitu di antara Asri dan Wasilah. Marwa dan Mira cuba mengelak daripada membicarakan soal mereka berdua itu namun Hindun dan Badihah mendesak mereka terlibat sama.
Aduh! Masa itu Marwa tidak dapat lari daripada menjadi mangsa keadaan. Mengumpat orang lain samalah seperti memakan daging saudaranya sendiri, begitulah sabda Rasulullah SAW untuk umatnya. Jika kita mampu mengelakkan diri dari mengumpat,tetapi tetap juga mendengar umpatan orang,itu lebih kurang sama dosanya dengan mengumpat. Mengumpat itu terjadi apabila kita mengata tentang sesuatu yang buruk dibelakang hamba Allah yakni orang yang diumpat sehinggakan apabila sahaja dia tahu tentangnya akan membuatkan dia marah atau kecil hati dan sebagainya. Mungkin ada yang menafsirkan aktiviti mengumpat ini merupakan senaman mulut yang bila mana ia tidak dilakukan umpamanya masakan yang tiada rasa, seperti gula dan garam. Sedar atau tidak, perencahnya mahal dan terlaris sebab mengumpat adalah berdosa. Walaubagaimanapun pun,kita adalah hamba-Nya yang lemah. Kita digalakkan untuk saling mengingatkan, bukan memburuk-burukkan sesuatu. Siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?
Sudah terhantuk baru terngadah, mungkin sahaja apa yang difikir dan dibicarakan oleh mereka itu tidak benar. Cerita Asri dan Wasilah menjadi buah mulut, malah meniti dari bibir ke bibir sehingga ramai dalam kalangan rakan mengetahuinya. Ada juga yang menokok tambah cerita yang sebenar untuk menarik perhatian orang lain yang mendengar. Bayangkan, sudah berapa ramai yang menanggung dosa kerana mengata yang tidak benar mengenai Asri dan Wasilah.
Beberapa minggu telah pun berlalu, khabar mengenai Asri dan Wasilah kian luput dibicarakan. Barangkali sudah jemu untuk membicarakannya. Malahan, pelajar-pelajar kelas 1B yang sama kelas dengan Asri juga tidak lagi menimbulkan perbualan mengenai hal itu. Marwa berasa kasihan kepada Asri kerana sebelum ini terpaksa melalui ejekan daripada rakan-rakannya yang mengatakan bahawa dia telah memainkan perasaan orang lain. Asri juga yang salah kerana tidak menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Dua hari selepas peristiwa hari pertama persekolahan itu menyaksikan Asri dipulaukan oleh rakan-rakannya gara-gara cerita yang ditokok tambah. Manakala Wasilah pula seperti sudah melupakan Asri, pernah suatu hari Marwa ternampak Wasilah ke kantin bersama teman-temannya dengan gembira, ada juga pelajar lelaki yang mengusiknya. Wasilah, seperti biasa sangat suka dirinya diambil perhatian terutamanya insan yang bernama lelaki.
Marwa menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek pelajaran yang diminatinya. Dia begitu tertarik untuk mengetahui sejarah pembentukan Malaysia, daripada cerita Parameswara sehinggalah Kerajaan Melayu Melaka, masing-masing mempamerkan seribu erti peristiwa yang berlaku berkurun lama dahulu. Tambahan pula, Marwa berasa tercabar untuk mendalami subjek Sejarah apabila mendapati ramai mendapat keputusan yang tidak memuaskan dan mengatakan bahawa mata pelajaran itu sebagai sesuatu yang membosankan dan terlalu banyak fakta untuk diingati.
Mira juga sependapat dengan Marwa, mereka berdua sama-sama berminat dan sekepala. Badihah juga sering mengusik Marwa dan kerap menjeling kertas ujian Sejarah Marwa yang telah disemak oleh cikgu. Kebanyakan jawapannya betul dan Badihah pula hanya mampu memuncungkan mulutnya kerana cemburu akan Marwa. Cemburunya bukan berniat jahat, Badihah juga kini mahu menggalas tenaga untuk menumpukan perhatian dalam mata pelajaran Sejarah.
Bagi Marwa, dia tidak berapa suka mendapat sebarang pujian. Malah setiap pujian yang diberi disusuli dengan jawapannya yang berunsur rendah hati, pujian-pujian itu mungkin nantinya akan melunturkan semangatnya untuk belajar kerana takut menganggap dirinya sudah hebat lantas berhenti untuk berusaha lagi. Masih teringat lagi di ingatan Marwa, guru sejarahnya yang bernama Arsyad. Ketika mengajar, Cikgu Arsyad biasanya hanya memandang ke bawah sahaja walaupun wajahnya memandang ke hadapan. Jika ada pun, kadang-kadang sahaja Cikgu Arsyad memandang ke arah pelajar-pelajarnya. Mungkin itulah kelainan yang ada pada Cikgu Arsyad berbanding guru-guru yang lain yang ada di sekolah tersebut.
Sudah agak lama Asri dan Wasilah tidak berhubungan lagi. Semenjak peristiwa perpisahan antara Asri dan Wasilah, Marwa asyik memerhati Asri. Asri dan Marwa pernah saling berpandangan seperti kebiasaan hubungan antara kawan. Pada suatu hari yang cerah di mana matahari menyembunyikan dirinya di sebalik awan yang putih. Pelajar-pelajar sekolah yang berada di gelanggang sekolah itu sedang asyik bermain, ada yang bermain bola tampar, bola jaring, bola sepak dan sebagainya. Sukan menguatkan daya fizikal dan ketahanan kita seluruhnya yang mana jika kita bersukan badan menjadi sihat. Memiliki tubuh badan yang sihat juga merupakan antara salah satu ciri-ciri individu muslim. Marwa sedang bercakap-cakap dengan Syarah di tangga berdekatan gelanggang, ketika itu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dijalankan oleh kelas mereka.
Syarah adalah seorang gadis yang matang pada umurnya yang hanya tiga belas tahun. Kadangkala, Syarah bersikap matang dan ada masanya juga Syarah berkelakuan seperti anak kecil yang bermain seorang diri. Apabila sahaja moodnya mahu bermain, maka sikapnya berubah dan demikian pula sebaliknya. Dia juga seorang yang peramah dan pandai memulakan topik bicara apabila pertama kali berkenalan dengan orang yang baru dikenalinya.
Tiba-tiba terpacul kata-kata..
“ Kalaulah Asri tu jadi gerek aku?” tanya Marwa sambil merenung jauh. Syarah terkejut mendengar kata-kata dari mulut Marwa sendiri lalu dia melompat kegirangan. Dia tidak menyangka Marwa berfikir mengenai sesuatu yang seperti itu.
“ Betul ke apa yang awak cakap ni, Marwa? Dan jika benar macam mana?” tanya Syarah. Senyuman tidak lari dari wajahnya, ada harapan tercipta di mindanya. Gadis yang sedang bercakap di depannya itu sebelum ini kelihatannya tidak berapa mahu bersosial dan sekarang tiba-tiba sahaja kata-kata itu keluar dari mulutnya. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang, Syarah mahu merealisasikan harapannya terhadap Marwa.
Marwa hanya mampu tersenyum sahaja, rasanya itu mungkin kata-kata berunsur gurauan tetapi Syarah kelihatan serius pula dengan apa yang dikatakan oleh Marwa. Marwa tidak tahu bahawa Syarah bercadang untuk bercakap terus dengan Asri perihal permintaan Marwa sebentar tadi. Pada mulanya, Marwa fikir Syarah mungkin hanya bergurau lalu membiarkan sahaja Syarah berlari turun ke gelanggang dan mendapatkan Asri. Marwa sudah tidak mahu lagi melihat Syarah dan Asri berbual di gelanggang sana.
“ Apakah maksud Syarah? Pelik benar,” Marwa bermonolog. Dia memerhati Asri seketika dan Asri pun memandangnya dari bawah. Ketika itu, Asri sedang bermain bola tampar dan peluhnya begitu banyak keluar dapat dilihat dari tempat Marwa berada,berkilat. Rakan yang berada dekat dengan Asri ketika itu adalah Harison. Harison merupakan seorang yang berbangsa Iban dan beragama Kristian, kulitnya hitam manis, bermuka bulat, dan berbadan tegap sesuai dengan gelarannya sebagai atlet permainan Petanque di sekolah tersebut yang pernah memenangi pingat emas dalam kejuaraan sukan antara sekolah tahun lalu. Harison turut sama mendengar perbualan antara Asri dan Syarah malah juga mengerling ke arah Marwa. Ada riak terkejut beransur dengan senyuman di wajahnya.
Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Marwa sedang dalam perjalanan untuk ke tandas apabila Syarah mendapatkan Marwa. Seperti kebiasaan setelah tamatnya waktu bermain, para pelajar segera ke tandas untuk menukar pakaian sukan kepada pakaian uniform sekolah. Asri, Harison dan yang lainnya sudah tidak kelihatan, mengikut jadual kelas mereka selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, waktu rehat menyusul selama lima belas minit.
“ Mar, As terima awak jadi teman wanitanya,” kata Syarah. Marwa yang ketika itu sedang berjalan lantas memberhentikan langkahnya. Terkejut bercampur hairan. Dia tidak menyangka perbualan yang tidak memberi makna yang serius antaranya dan Syarah sebentar tadi tiba-tiba bertukar kritikal. Syarah menunggu reaksi positif daripada Marwa manakala Marwa masih lagi berfikir.
Menjadi teman wanita seseorang itu Marwa tidak pernah malah pengalaman bercinta pun dia tidak pernah lalui. Adakah dia perlu mengelak daripada lelaki lain selain daripada Asri selepas ini? Bagaimana agaknya mahu melayan teman lelaki yang belum lagi naik pangkat menjadi suami? Bagaimana reaksi orang lain nanti apabila mengetahui perhubungan antara Marwa dan Asri? Bagaimana dengan pelajarannya yang sudah cemerlang ketika ini nantinya akan kacau disebabkannya yang bercinta?
Sudah agak ramai dalam kalangan remaja Melayu yang beragama Islam yang sanggup menenggelamkan hidup mereka hanya kerana kemaruk cinta. Cinta kepada seorang lelaki yang bukan mahram, bukan suami sendiri. Cinta atas dasar nafsu semata-mata sehinggakan nafsu itu menewaskan akal yang diciptakan oleh Allah SWT. Cinta yang menyebabkan manusia lupa akan dunia dan mahu berseronok dan merasakan bagaimana asyiknya bercinta. Jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu adalah penyakit.
Nasi sudah menjadi bubur, ketika peristiwa ini terjadi Marwa tidak begitu tahu akan akibat, kesan dan sebabnya cinta yang tidak berpaksikan atas ikatan perkahwinan yang sah. Apabila telah mula bercinta, segala yang buruk tentang teman lelaki atau teman wanita itu sendiri menjadi indah pada pandangan manusia yang terperangkap ke dalamnya. Ada juga segolongan kaum Hawa yang rela menjual maruah diri demi memuaskan kemahuan teman lelaki sendiri, syaitan-syaitan pula berpesta menyaksikan kejayaan mereka. Tidak hairan, bayi-bayi hasil daripada hubungan haram ini dibuang tidak berperi kemanusiaan demi menjaga nama dan maruah. Tidak terfikirkah mereka, melakukan hubungan haram itu sendiri telah menghancurkan maruah mereka? Hal ini bertambah dengan sanggupnya membuang bayi daripada darah mereka sendiri.
“ Adakah aku sedang bercinta sekarang?” monolog Marwa.
Dari kejauhan, terlihat Asri yang sedang memerhatinya. Ya,bermulalah percintaan antara Asri dan Marwa mulai saat itu ! Marwa sedang menanti ketibaan Asri di dalam kelas, dia masih terkejut dengan kenyataan bahawa dia kini telah menjadi teman wanita Asri. Asri sebagai Ketua Pengawas sesi petang sekolah itu sedang menjalankan tugasnya dalam mengawasi setiap kerja pengawas-pengawas lain termasuk mengumpul laporan setiap minggu daripada ahli pengawas sendiri. Asri juga tidak menyangka Marwa menyukainya selama ini.
Semenjak tadi, Syarah bersamanya untuk berkongsi cerita mengenai perihal bercinta. Selain daripada Syarah, Hazima, Iyas, Badri, Badihah, dan Hindun pun mengetahui tentang hubungan antara Marwa dan Asri. Marwa pula hanya tersenyum dan mendengar setiap kata-kata nasihat daripada mereka. Mereka tidak tahu belenggu fikiran Marwa pada masa itu. Iyas dan Badrilah yang paling bising apabila mengetahuinya.
Iyas dan Badri kedua-duanya adalah lelaki tetapi mereka lebih suka menyerupai sikap golongan perempuan. Ramai yang mengata mereka adalah pondan tetapi mereka berdua suka diberi gelaran begitu. Cara berjalan, bercakap, melayan dan menilai seseorang pun ditiru daripada sikap golongan perempuan. Badihah dan Hindun pernah menegur mereka untuk bersikap seperti lelaki tetapi nasihat mereka seperti peribahasa masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka berdua masih juga begitu, tidak berubah sehingga kini.
Tidak lama kemudian, Asri dan Harison memasuki kelas mereka. Langkah Asri dan Harison seperti biasa, Asri menundukkan pandangannya barangkali masih berfikir ataupun kerana sibuk dengan tugasnya sebentar tadi. Marwa memerhati pergerakan Asri menanti Asri melihatnya di tempat duduk. Walaupun begitu,Marwa sedikit terganggu dengan rakannya yang berbangsa Cina iaitu Cho Lee Doon. Lelaki Cina itu datang menghampiri Marwa untuk bertanya mengenai soalan Sejarah yang tidak difahaminya. Soalan itu berkisar tentang Sistem Pemerintahan Empat Lipatan di Tanah Melayu. Ketika Marwa sedang sibuk membantu Lee Doon menyelesaikan soalan Sejarah tersebut, Asri memandangnya di tempat duduk. Akhirnya, mata mereka berdua bertaut.
Begitulah manisnya percintaan yang dialami oleh para remaja zaman ini kerana hanya melalui pandangan sahaja sudah jatuh ke dalam perangkap cinta mencintai. Malah, dengan pandangan itu sahaja pun boleh menjadi panah syaitan buat insan yang bernama manusia. Firman Allah SWT:
“ Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman hendaklah mereka membatasi pandangannya dan menjaga kemaluannya. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
Mereka berdua saling bertukar nombor telefon bimbit pada hari yang sama. Pada malamnya pula, Marwa dan Asri saling membalas pesanan ringkas sehingga masa melewati mereka begitu sahaja, tidak terisi dengan perkara berfaedah.
Sehingga kini, Marwa berusaha untuk melupakan peristiwa itu dan menyesal dengan perbuatannya yang lalu. Selama Marwa dan Asri bercinta, Marwa tidak ingat untuk solat dan jika Marwa solat pun, waktunya ditangguh-tangguhkan sehingga kadang-kadang sanggup pula meninggalkan solat tersebut. Bukankah solat itu tiangnya agama? Namun Marwa telah merobohkan tiang itu gara-gara sebuah percintaan yang dijalin dengan ikatan yang tidak sah sebagai suami isteri. Marwa juga melakukan zina mata dengan Asri, suatu yang tidak disedari oleh ramai manusia, mata adalah senjata utama syaitan yang akhirnya berjaya menimbulkan angan-angan kepada manusia untuk melakukan kejahatan dan menginginkan sesuatu yang tidak halal untuk mereka.
“ Syil, ini semua salah faham. Saya tak pernah nak menduakan awak,” kata Asri memandang tepat ke mata Wasilah, air matanya mengalir namun masih tidak mahu memandang Asri yang sedang berdiri di hadapannya. Sebentar tadi, Wasilah menunjukkan surat yang ditulis oleh Nada kepadanya. Hari itu adalah hari pertama persekolahan dan sekarang Wasilah telah memadamkan moodnya untuk mengenali kehidupan baru di tingkatan. Asri menarik Wasilah keluar daripada kelas tersebut bagi mengelakkan mereka berdua terus diperhati oleh pelajar lain. Namun, semua pelajar terkejut dengan tindakan Asri, adegan tersebut seakan-akan drama cerita Korea yang dipertontonkan di televisyen.
Kini, mereka berada jauh daripada kelas tetapi masih tidak juga lepas daripada diperhati oleh pelajar lain yang lalu-lalang di sekitarnya. Wasilah membiarkan Asri menjelaskan segalanya.
“ Kepada saya, Nada tidak lebih daripada seorang teman. Sebelum ini, dia meminati saya jadi saya layan dia sebagai kawan. Saya tak pernah dapat surat daripada Nada,”
“ Memang tak pernah. Nada yang mengirimkan surat ni kepada saya dan menyerahkan kepada awak. Kenapa awak masih nak layan dia kalau dah tahu kita bercinta? Cukuplah sampai di sini,” kata Wasilah lalu beredar pergi meninggalkan Asri. Dia tidak mahu lagi mendengar penjelasan daripada Asri, baginya hubungan mereka telah pun berakhir. Tinggallah Asri seorang diri di situ melayan perasaannya yang berkecamuk. Sesekali angin menghembus lembut sekaligus membawa pergi kisah antara Asri dan Wasilah. Pementasan cerita dua insan bernama Asri dan Wasilah telah pun berakhir. Semuanya telah ditakdirkan oleh Allah SWT dan telah tertulis ketika penciptaan seseorang manusia berlaku, kita manusia hanya melakonkan apa yang telah tertulis. Mungkinkah muncul watak yang baru? Segalanya yang mungkin berkemungkinan menjadi dengan kehendak Allah SWT sendiri juga.
Marwa mengeluh kecil. Kini, dia sudah berubah dan peristiwa yang telah terjadi kepadanya suatu ketika dahulu telah lama menjadi sejarah buat dirinya. Terasa hina juga dengan diri sendiri kerana seringkali merasa telah menjadi baik padahal manusia itu tidak sempurna. Setitis air matanya menitis menyesali perbuatannya yang lalu.