7.20.2011

Peroleh | Kejayaan Dengan | Reda @ | Murka Allah??


Sekumpulan nelayan turun ke laut untuk menangkap ikan. Setelah tiga hari mereka berada di laut, mereka langsung tidak mendapat walau pun seekor ikan. Pada masa yang sama terdapat sekumpulan lagi nelayan yang mendapat banyak ikan, tetapi mereka ini tidak pernah sujud kepada Allah.

Kumpulan yang pertama tadi berkata: Subhanallah, kita solat tetapi gagal menangkap ikan walaupun seekor. Sementara mereka yang tidak pernah sujud kepada Allah mendapat banyak hasil tangkapan. Lantas syaitan membisikkan kepada mereka agar meninggalkan solat. Mereka terpedaya dengan bisikan tersebut lalu mereka tidak solat subuh, zohor dan asar.

Selepas asar mereka pergi untuk menangkap ikan dan Berjaya menangkap seekor ikan. Mereka menangkap ikan itu dan membelah perutnya. Mereka semua terkejut kerana didapati sebutir mutiara yang mahal dari perut ikan itu. Salah seorang berkata : Subhanallah, ketika kita taat kepada Allah kita tidak mendapat apa-apa. Namun ketika kita menderhakainya kita mendapat mutiara. Sesungguhnya rezeki yang kita peroleh ini tidak patut diterima.


Kemudian dia mencampakkan mutiara itu ke laut. Dia berkata : semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Demi Allah aku tidak akan menerimanya kerana Allah berikan ketika kita tidak solat kepadaNya. Marilah kita berpindah ke tempat kita melakukan dosa ini.




Selepas tiga batu mereka meninggalkan tempat itu, mereka berusaha untuk menangkap ikan buat kali kedua. Mereka Berjaya menangkap ikan Kun¡¯ud. Perut ikan itu dibelah dan ternyata didapati sebutir mutiara. Mereka berkata : segala puji bagi Allah yang telah memberi rezeki yang baik kepada kita. Ini diperolehi selepas mereka bersolat, berzikir dan bertaubat kepada Allah. Maka mereka menerima mutiara tersebut.

Suntingan daripada kitab :
La Tahzan : Dr Aidh bin Abdullah al-Qarniy

PENGAJARAN :

1- Allah member kejayaan kepada sesiapa sahaja yang berusaha walaupun seseorang itu mendurhakaiNya.
2- Rezeki yang berkat diberikan dalam keadaan seseorang itu sentiasa mentaati Allah.
3- Allah sentiasa menguji hambaNya untuk meningkatkan keimanan.
4- Pilihlah memperoleh kejayaan dalam keadaan mentaati Allah.


" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

7.13.2011

11 Jenis | Manusia | Didoakan | Malaikat???


1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”



3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ “

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”


9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”

10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

7.08.2011

Syaitan | Dan | Kita?


Syaitan. Kenalkah anda siapakah itu syaitan? Hari-hari yang dilalui oleh kita sebagai hamba-Nya terkadang tidak sedar hakikat syaitan itu selalu berada di samping kita. Tika kita sedang sendiri, tika kita sedang berada di khalayak ramai, mahupun berada bersama dengan teman-teman ataupun keluarga sendiri, makhluk itu tidak pernah lari dari diri kita sendiri. Cuba untuk lari, tetap makhluk itu ada di sisi.

Daripada Abu Said, Nabi Muhammad berkata yang bermaksud: “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, demi kemuliaanmu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka.’ Allah menjawab: ‘Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tetap memberi keampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepadaku.’”

(Hadis direkodkan oleh Ahmad)

Diriwayatkan pula didalam Shahih Muslim, ketika Sayyidatuna Aisyah rha diberitahu oleh Nabi SAW:

“Telah datang kepadamu syaitanmu.”, maka berkata Sayyidatuna Aisyah ra, “Ya Rasulullah, apakah di dalam diriku ini ada syaitan?”,“Ya betul, di hatimu dan di dirimu itu ada syaitan.” Apakah di setiap manusia juga ada syaitannya?” Rasul SAW menjawab, “Ya benar, pada setiap manusia itu ada syaitan penggodanya.”, “Lalu bagaimana dengan engkau ya Rasulullah?” Dan Rasul SAW menjawab. "Ya! pada diriku pun ada syaitannya, tapi Allah SWT sudah menundukkannya sampai syaitan itu pun menyerah”.

Begitulah ‘akrabnya’ hubungan syaitan dengan diri manusia.


“Sesungguhnya syaitan mengalir pada tubuh keturunan Adam pada aliran darahnya”

(Shahih Bukhari)

Syaitan itu sangat kreatif dan tidak pernah mati. Tidak pernah mati tetapi beranak pinak. Oleh itu, makhluk ini serba tahu teknik-teknik menyesatkan manusia berdasarkan tahapan jenis manusia tersebut sendiri. Pengalamannya cukup meluas tentang perihal menghasut dan menyesatkan manusia. Tidak hairanlah di sana sini kita dengar manusia yang walaupun begitu banyak beribadah mendekatkan diri kepada Allah tetap tewas kerana hasutan syaitan. Dia tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan diri manusia, cucu Nabi Adam.

Firman ALLAH yg bermaksud:

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada ALLAH) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka? Bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka kerjakan.”

(Al-An’am:43)


Maksud ayat di atas ialah, syaitan menghiasi kemaksiatan dan kesesatan sehingga kelihatan baik dan indah di mata manusia dan ragu untuk membezakan manakah yg benar-benar hak dan manakah yg batil. Ini merupakan salah satu cara iblis untuk menyeret seseorang kpd kehancuran dan kemurkaan ALLAH.

Dalam satu hadis nabi dari Wahab bin Muhabbih dikisahkan bahawa dulu dikalangan Bani Israel, ada seorang abid yg paling rajin beribadat pada zamannya. Kemudian ada tiga orang lelaki bersaudara yg mempunyai serorang adik perempuan yg masih gadis.ketika itu ada seruan supaya ikut berperang, tiga bersaudara bingung hendak tinggalkan kepada siapa adiknya itu. Kemudian mereka sepakat meninggalkan adiknya itu kepada abid tersebut kerana hanya kepada dialah mereka percaya adiknya itu akan selamat. Lalu mereka pun berangkat ke rumah abid itu dan menyampaikan hasrat mereka.

“Maksud kedatangan kami ke sini hendak menumpangkan adik kami kepada tuan sampai kami pulang dari medan perang,”kata mereka. Pada mulanya abid itu menolak namun setelah didesak, akhirnya abid itu berkata :”baiklah kalau begitu, tempatkanlah adikmu ini di rumah kosong dekat rumah ibadatku ini. Saya akan menjaga keselamatannya.

Setelah itu mereka pun berangkat ke medan perang dengan perasaan lega. Gadis itu tinggal dirumah kosong itu beberapa waktu lamanya.

Apabila tiba waktu makan , abid itu berhenti dari ibadahnya, lalu meletakkan makanan di depan pintu rumah ibadahnya, kemudian pintu itu pun ditutupnya kembali. Kemudian dari dalam rumah ,ia menyeru gadis itu agar mengambil makanan tersebut. Lalu anak gadis itu keluar mengambil makanan yg telah tersedia, begitu seterusnya sampai beberapa kali. Kini, iblis mula memainkan peranannya. Dibisikkannya pada hati abid itu supaya menghantar makanan ke rumah gadis tersebut. “Lebih baik kamu hantar makanan itu dan kamu letakkan didepan pintu rumah gadis itu, maka pahalanya akan lebih besar. Disamping itu apa kata orang nanti kalau seandainya melihat anak gadis itu datang ke tempat ibadatmu pada siang hari,” bisik iblis.

Maka diikutinya bisikkan iblis terkutuk itu. Kini, makanan itu dihantar sendiri oleh abid dan diletakkan dipintu rumah gadis tersebut. Mula-mula ia terus kembali ke tempat ibadatnya setelah mengirimkan makanannya akan tetapi iblis mulai membisikkan lagi .“Alangkah baiknya kalau kamu singgah sebentar sahaja, tentu gadis itu akan terhibur kalau kamu ajak bersembang tentang sesuatu. Dia sangat kesepian.” Maka buat pertama kali si abid hanya singgah sebentar dan berbicara perkara yg penting tetapi lama kelamaan semakin lama duduknya dan semakin dekat duduknya hingga berhimpitan. Kemudian si abid memegang dan mencium pipinya, lalu terjadilah apa yg selama ini ditakuti oleh saudara-saudaranya yg pergi berperang. Gadis itu akhirnya hamil dan melahirkan bayi lelaki. Ternyata iblis tidak membiarkan setakat itu sahaja. Dibisikkannya ke hati abid itu untuk mengerjakan perbuatan yg lebih keji dan kejam.

Kata iblis,”Bagaimana kalau saudara2 perempuan itu datang dan tahu telah melahirkan anak luar nikah, apa yg hendak kamu lakukan. Tentu mereka akan marah dan memberitahu kpd orang ramai tentang aibmu. Sekarang kamu mesti bunuh bayi dan ibunya dan tanam ke dalam lubang.” Si abid pun membunuh mereka sekaligus lalu ditanam dan ditimbus dgn batu. Setelah itu ia berpura-pura beribadah seperti biasa. Ketika ketiga bersaudara itu pulang dan menanyakan adiknya si abid memberitahu bahawa adik mereka telah mati kerana sakit. Dia berpura-pura memuji kebaikan adik mereka itu dan menunjukkan kuburnya. Lalu, mereka menziarahinya dan menangis kerana hiba. Setelah beberapa hari mereka pulang ke rumah, pd suatu malam mereka didatangi iblis yg menyamar sebagai musafir yg menyatakan bahawa si abid itu berbohong.

“Adikmu tidak mati kerana sakit dan kubur itu bukan kubur adikmu yg sebenar. Tetapi adikmu telah hamil dan mendapat bayi lelaki, lalu mereka dibunuh dan mayat ditanam dibelakang rumah adikmu. Kalau kamu tidak percaya, lihatlah disana, pasti kamu menemuinya “ujar iblis. Pagi-pagi itu, mereka pergi ke tempat yg dimaksudkan, ternyata benar seperti yg dalam mimpi. Lalu mereka menyiasat dan akhirnya si abid mengaku bersalah. Dia diheret ke tanah lapang untuk disalib.

Iblis tidak puas hati dan berkata “Tentu kamu telah tahu aku adalah temanmu. Aku goda kamu dengan seorang wanita sehingga hamil, lalu kamu bunuh dia. Sekarang kalau kamu mahu memtaati segala perintahku dan ingkar kpd ALLAH yg telah menciptakanmu, aku akan selamatkan kamu dari hukuman ini.

Akhirnya si abid menuruti semua kemahuan syaitan. Dia menyatakan kafir kepada ALLAH . Ternyata iblis tidak menolongnya .akhirnya dia mati disalib dalam keadaan kafir.

Malah sejak dahulu lagi, makhluk itu menghasut nabi Adam dan isterinya, Hawa di dalam syurga supaya memakan buah kholdi.

“Dan Kami berfirman, “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dengan nikmat (berbagai makanan) yang ada di sana sesukamu. (Tetapi) janganlah kamu dekati pohon ini, nanti kamu termasuk orang-orang yang zalim! Lalu syaitan memperdayakan keduanya dari syurga sehingga keduanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika keduanya di sana (syurga). Dan Kami berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan.”
(Al-Baqarah 2 : 35-36)

Alangkah baiknya kita mencontohi makhluk ini. Ha? Buat apa nak mencontohi syaitan? Rilek-rilek, macam ni. Syaitan tidak pernah putus asa menyesatkan manusia, jadi cuba kita berusaha untuk tidak putus asa menewaskan syaitan dengan mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Barangkali kita tersungkur jatuh pada hasutan syaitan. Kembalilah kepada Allah, Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk di atas muka bumi ini. Dia Maha Mengetahui tentang keadaan hamba-hamba-Nya, melebihi rakan-rakan kita, keluarga kita mahupun jiran tetangga yang rapat. Allah tetap memberi ampunan kepada hamba-Nya selama mereka memohon ampunan kepada-Nya kecuali dosa mempersekutukan-Nya dengan selain-Nya.

Sebagai peringatan juga buat diri sendiri sebagai hamba-Nya, kerana diri sendiri akan diuji pada apa yang telah diperkatakan.