10.14.2015

Ajal yang Tak Menjemput

[credit]

Ku mulai tahun baru ini dengan sebuah muhasabah, bahkan mungkin juga sebuah kesedaran diri yang selama ini mungkin terlalu leka dengan kehidupan duniawi yang sementara cuma. Mungkin juga selama ini masih belum cukup ikhlas dalam mengejar cinta Allah, begitu banyak kemungkinan. Makan malam bersama pak cik ku semalam agak serius di mana banyak membincangkan tentang ajal. Tentang ibu bapa yang semakin hari semakin bertambah umur, mereka tidak akan selamanya seperti yang kita lihat pada hari ini. Justeru, kita sebagai anaknya harus perlu sentiasa siap siaga untuk mengharungi hari itu, hari-hari mereka bertarung nyawa. Allahu, bersediakah aku melalui hari-hari tersebut?

Yang disebut namanya ajal, tidak mengenal umur dan ketika. Meski cuba lari darinya, ajal pasti akan mengejarmu biar kebal manapun rumah mu mahupun badanmu dari sebarang bahaya yang datang. Hargai mereka yang ada di sekelilingmu selagi mereka masih ada. Sehingga apabila ia hilang, kamu tidak menyesal dengan pemergiannya. 

A: Kenapa kau tak berhenti merokok? Bukankah kau sudah tahu merokok boleh memudaratkan dirimu. Jaga badanmu selagi mampu. Usaha.
B: Tak perlu lah berhenti merokok. Badan pun dah cukup tua dah, alang-alang sangat nak berhenti merokok sekarang.Dah terlambat.
A: Kalau bertaubat...
B: Apa maksud kau dengan bertaubat? Cakap pasal rokok tapi kenapa libatkan pasal taubat?
A: Maksud aku keadaan ini sama dengan istilah bertaubat. Bila dah cukup tua, adakah istilah terlambat masih ada? Dah cukup tua, tak payahlah bertaubat sebab dah banyak sangat dosa. Baik tambah lagi dosa sampai akhirnya masa itu tiba. Nah, adakah ia logik?
B: [Terdiam]

Seringkali kita terlalu sibuk merancang hala tuju hidup kita seorang, mahu hidup bahagia mahu bersama orang yang kita sayangi, Allah jua yang merancang dan Dia lagi yang terbaik dalam merancang. Hargai Allah selagi Dia masih mahu memberimu kesempatan untuk bertaubat. 


Salam Maal Hijrah 1437H. Semoga hidup sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
Bintulu, Sarawak.