Marwa Insyirah tetap sedang berfikir. Dia merenung kembali kisah silamnya yang lalu. Hendak diceritakan boleh mengambil masa seminggu hingga sebulan atau berbulan-bulan agaknya. Itulah zaman sebelum dirinya mendapat hidayah daripada Allah SWT, zaman jahiliyah. Segalanya masih terang di mindanya, seakan-akan baru sahaja berlaku kelmarin. Tidak salah untuk merenung kesilapan yang lalu untuk dijadikan hamparan baru bagi mengharungi bahana cabaran yang akan datang. Sejadah yang berwarna merah darah dan kelihatan lusuh itu setia menjadi tempat buat Marwa Insyirah beribadat kepada Allah SWT. Ya, sejadah itulah yang menjadi saksi akan semua perkembangannya selama ini.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Satu mesej diterima. Marwa Insyirah segera membuka peti masuk mesej tersebut lalu membacanya.
Salam buat si mawar yang disayangi.. Ku doakan kau mekar ditaman..Diakari rasa
berTuhan..Dihiasi haruman akhlak dan iman.. Kerana itulah ukuran.. Jelitanya
seorang perawan beriman.. -Naurah Nawwarah
Hati kecil Marwa Insyirah sedikit terhibur dengan bait kata dari mesej yang diberi oleh rakan karibnya itu, Naurah Nawwarah. Sebagai syifa’ atau penawar buat hatinya yang kian menyesali akan kesilapan yang pernah dilakukannya dahulu. Naurah Nawwarah seorang yang sangat baik kepada Marwa Insyirah, jatuh bangunnya Marwa Insyirah diselang-seli dengan nasihat daripada Naurah Nawwarah. Marwa sering berdoa agar dia tetap mekar ditaman firdausi, diakari dengan rasa seorang hamba berdepan kepada Penciptanya, dan harumannya adalah peribadi Muslim sejati serta iman yang tetap teguh di bawah naungan-Nya. Syukur Alhamdulillah dia berada di jalan yang lurus pada hari ini. Fikirannya kembali ke masa lalu di saat muda.
Lebih kurang lima bulan lagi peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2003 akan dijalankan. Sekolah Kebangsaan Baru Bintulu itu tidak kurang merasai bahangnya ujian tersebut. Semua guru meletakkan harapan yang tinggi buat pelajarnya yang akan menduduki peperiksaan terbabit. Marwa Insyirah pada tahun itu berada pada tahun kelima, bererti umurnya sebelas tahun. Dia sedang duduk di dalam kelasnya sambil memerhati gelagat seluruh rakan sekelasnya. Masa rehat sememangnya menjadi medium buat pelajar sebayanya mengambil peluang untuk makan, berehat atau tidak kurang juga berjumpa dengan guru untuk bertanyakan masalah belajar.
Pelajar yang bernama Marwa Insyirah itu berlainan daripada pelajar perempuan yang lain di sekolah itu. Dia lebih suka mendiamkan dirinya dan hanya akan bersuara apabila perlu sahaja. Namun dalam diamnya itu dia asyik berfikir tentang masalah dirinya. Dia masih belum lagi berpunya, atau tiada teman lelaki. Betapa lucunya peristiwa itu apabila diingati kembali oleh Marwa Insyirah, sedangkan umurnya masih di takuk yang masih terlalu mentah.
“ Hanya tinggal awak seorang saja yang tak ada ‘gerek’ (teman istimewa dalam bahasa Sarawak). Tak malu,” kata Mira selaku rakan karibnya. Mira seorang pelajar perempuan yang agak lincah dan comel. Tidak hairanlah ramai lelaki yang ‘terminat’ padanya.
Meskipun Mira hanya bergurau sahaja dengannya namun Marwa Insyirah pasti Mira memaksudkannya. Kini, budak sekolah rendah pun telah terkena tempias kehidupan orang dewasa. Mereka merasakan mereka telah matang lalu mencuba untuk berlagak seperti orang dewasa. Cinta bukan mainan dan bukan mudah untuk membina cinta yang utuh lebih-lebih lagi kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta rasa cinta itu.
Marwa pada ketika itu masih samar-samar akan cahaya Islam yang sebenar. Ya, walaupun kad pengenalannya menyatakan bahawa dia seorang Islam namun dia sendiri tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Apa yang dia tahu, Islam bagi yang perempuan bertudung, puasa, sembahyang raya, terawih, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Selebihnya dia masih tidak faham atau tidak diberi didikan. Mungkin yang menyebabkan perkara itu berlaku adalah dirinya sendiri. Dia terlalu sibuk dengan hiburan dunia. Baginya apabila telah tua barulah bertaubat dan mengamalkan Islam secara total. Marwa berasa sangat malu dengan dirinya, apalagi setelah dia terlanggar dengan hidayah-Nya pada hari ini.
“ Aku memang nak bercinta. Tapi aku rasa bercinta ni bukan minat aku sekarang. Kita kan masih mentah lagi,” biasa sahaja jawapan daripada Marwa pada waktu itu. Mira berasa rakannya perlu mengubah persepsi kuno orang zaman itu.
Zaman ketika Marwa berumur sebelas tahun, masyarakat masih lagi terikat benar dengan cara hidup Islam. Lagu nasyid tempatan dijadikan makanan buat telinga yang mendengar, pakaian bertudung untuk menutup aurat bagi perempuan Islam masih tetap diamalkan. Entah bagaimana dan bila pula gejala couple ini merasuk ke dalam minda anak muda. Jika ingin mengetahui perkembangan masa depan, kita perlu terlebih dahulu melihat keadaan anak muda pada masa kini. Hal ini demikian kerana, merekalah yang akan mencorakkan generasi yang akan datang baik dari segi pemerintahan politik atau budaya sosial mahupun agama.
Marwa teringat akan tokoh Islam dan juga pengasas Mazhab Syafie yang menjadi pegangan buat penduduk Malaysia iaitu tidak lain selain Al-Imam Syafie. Beliau yang masih berumur sembilan tahun, sama sahaja dengan pelajar yang berada di tahun Tiga sekolah rendah sudah berjaya menghafaz tiga puluh juzuk Al-Quran. Dia melihat anak muda zaman moden kini telah jauh dari cahaya Islam, lebih suka menghabiskan masa di kedai komputer bermain game berjam-jam atau duduk di rumah melayari internet sepanjang hari. Marwa juga pernah terpengaruh dengan itu semua, dan itulah yang menjadikan Marwa Insyirah yang baru.
“ Apa kata kalau kita jalan-jalan sekeliling sekolah ni kejap? Janganlah jadi katak di bawah tempurung, cik adik” kata Mira bergurau. Dia melanggar lengannya dengan lengan Marwa. Marwa tahu Mira sengaja melakukan sedemikian demi memujuk Marwa untuk keluar dari kelas itu. Di depannya, harapan untuk Marwa mendapatkan seorang teman lelaki, paling tidak pun minat dengan lelaki. Siapa tahu, minat bercambah menjadi cinta. Mira tersenyum sendiri.
Pelajar senior atau tahun akhir menjadi target oleh Mira untuk menjerat Marwa ke dalam alam percintaan yang penuh keindahan dan manisan, baginya. Marwa langsung tidak mengetahui akan niat Mira itu, dia cuba berprasangka baik kepadanya. Akhirnya, Marwa bersetuju lalu membuntuti Mira yang telah sedia berdiri menunggu di luar kelas. Selain Mira, Jessica iaitu temannya yang lain turut bersama. Entah dari mana datangnya Jessica, monolog Marwa seorang diri.
Jessica seorang pelajar perempuan beragama Kristian dan berbangsa Iban. Dia agak tinggi dan sedikit kurus. Walau banyak bezanya dengan Marwa dan Mira, mereka bertiga adalah kawan rapat. Gadis berbangsa Iban itu banyak membantu Marwa dalam pelajaran Matematik mahupun untuk bersosial seperti orang lain. Jessica yang mengajarkan Marwa untuk berani berdepan dengan insan berlawanan jantina, lelaki. Sebelum ini, Marwa amat liat untuk berhubung dengan lelaki kecuali bapa dan abangnya. Manakala Mira pula memberi jalan jahiliyah buat Marwa untuk berjinak-jinak dalam kancah cinta sebelum adanya ikatan yang sah.
Marwa tidak menyalahkan mereka berdua kerana pada masa itu masing-masing kering dengan ilmu agama dan merasakan apa yang dilakukan segalanya betul. Bagi Jessica, hal ini perkara biasa untuknya. Namun begitu, Marwa dan Mira sepatutnya tahu pada ketika itu, cinta terhadap manusia lain lebih-lebih lagi menyebabkan lalai dari mengingati ya Rabbi adalah haram sama sekali. Apatah lagi hubungan itu menjurus kepada maksiat hati sehingga akhirnya berpegangan tangan dan berpelukan tanpa segan-silu.
“ Mira, ini kan blok senior? Apa yang kita nak buat dekat sini?” tanya Marwa sambil menoleh ke arah Mira dan Jessica. Mereka berdua berpandangan sambil tersenyum. Sepertinya ada muslihat di sebalik pandangan yang penuh dengan rahsia itu. Mira dan Jessica sememangnya telah merancang semua ini sejak dari awal lagi, mereka mahu Marwa tertarik dengan lelaki yang akan mereka perkenalkan nanti.
“ Kau jangan risaulah, Mar. Aku Cuma nak perkenalkan kau dengan seseorang yang aku kenal. Dia dah lama dah ‘syok’ kat kau,” jawab Mira, menambah lagi kekalutan pada fikiran Marwa sendiri.
“ Aku tahu kau mesti menolak punya kalau kami beritahu lebih awal. Sebab tu kitorang tak beritahu kau,” Jessica mencelah selepas sejak tadi mendiamkan diri. Marwa bingung. Dia tidak mahu memulakan sebarang hubungan yang akan mengganggu prestasi pelajarannya nanti meskipun hatinya berpihak kepada perasaan ingin dicintai dan mencintai. Baginya, lebih baik berkorban sekarang daripada menyesal kemudian nanti. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah.
Pelajar-pelajar senior sekolah itu boleh tahan. Pelajar lelaki kebanyakannya tinggi lampai, berkulit cerah, akademik pun bagus disamaratakan sekali dengan kejayaan dalam aktiviti kokurikulum. Dua pakej dalam satu, maka beruntunglah bagi sesiapa yang memiliki lelaki seperti itu. Sementara pelajar perempuannya pula agak cantik dan memiliki keistimewaan yang tersendiri antara satu sama lain. Ada yang berbakat dalam nyanyian, penulisan, berkarya, berseni, dan sebagainya. Terasa benar Marwa bahawa dirinya hanyalah insan biasa, pelajar yang kurang aktif dan akademiknya pula boleh dikatakan tidak menentu dan kadangkala nyawa-nyawa ikan sahaja.
Tanpa berfikir panjang, Marwa mengorak langkah untuk pergi meninggalkan kawasan itu. Dia hanya akan mendapat malu jika terus berada di situ, seakan-akan mengharapkan putera kayangan turun ke bumi seperti langit dan bumi. Mira dan Jessica ditinggalkannya di belakang, niat mereka bersih untuk membantu Marwa. Entah mengapa hati Marwa tidak tertarik untuk berfikir tentang itu semua.
“ Ya Allah, datangkanlah akan aku seorang lelaki yang juga adalah jodohku nanti. Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu. Engkau Maha Mengetahui betapa aku memerlukannya,” monolog Marwa dalam benaknya.
Semuanya segar di ingatan Marwa sehingga kini, ketika dia sedang berteleku di atas sejadah kesayangannya. Dari mana datangnya ilham untuk berdoa sedemikian, Marwa sendiri pun kurang pasti. Pada ketika itu, dia benar-benar memerlukan seorang teman lelaki seperti yang dicabar oleh Mira. Ah, Mira! Sudah agak lama dia tidak mendengar khabar tentang rakannya itu. Apakah sihat ataupun tidak? Apakah dia masih mengingatinya? Marwa Insyirah kembali pada ceritanya tadi.
Tatkala itu juga Marwa Insyirah terpandang akan seorang lelaki yang benar-benar berada beberapa langkah dari dirinya. Lelaki itu bermuka bulat, berkulit kuning langsat, tinggi dan berkopiah tidak seperti pelajar lelaki lain yang memakai songkok. Tiba-tiba, hatinya membayangkan sesuatu. Dia membayangkan lelaki itu akan memimpinnya ke arah cara hidup Islam yang benar suatu hari nanti apabila melihat pada perwatakannya yang seakan-akan seorang ustaz.
Setelah itu, Marwa seringkali mencuri pandang akan lelaki itu yang dikenali sebagai Fathullah atau dipanggil Fadul. Di setiap saat, di setiap tempat, Marwa akan tercari-cari kelibat Fadul. Temannya, Mira dan Jessica sendiri pun terkesan dengan perubahan Marwa yang saban hari semakin pelik. Mereka melihat Marwa berjalan seorang diri dari blok ke blok dan kemudian kelihatan mencari seseorang. Alangkah bagusnya kalau masa yang terbuang itu diisi oleh Marwa untuk mengulangkaji pelajarannya kerana peperiksaan akhir sudah semakin hampir.
Dia mendapat maklumat bahawa Fadul adalah pelajar senior dan sudah pun mempunyai teman istimewa. Teman istimewanya itu juga adalah rakannya sendiri, iaitu Serina. Hancur luluh hati Marwa apabila mengetahui tentang itu semua, hilanglah niatnya untuk berpunya. Fadul adalah jodohnya, pelajar lelaki itu muncul sebaik sahaja Marwa selesai berdoa tempoh hari. Dia sangat pasti, namun semuanya harus dihentikan segera. Jika Marwa masih mahu terus berusaha, bermakna dia mungkin akan kehilangan Serina.
Serina ialah pelajar perempuan sebaya Marwa Insyirah, cumanya Marwa agak lebih tinggi daripada Serina. Marwa dan Serina mula bersahabat melalui hubungan kekeluargaan antara nenek Marwa dengan nenek Serina. Marwa masih ingat lagi saat dia mengetahui bahawa mereka bersaudara. Ketika itu majlis kenduri sempena mengingati kematian arwah datuk Serina diadakan.
“ Jadi kita ni bersaudara?” tanya Serina kepada Marwa dengan girang. Serina sememangnya seorang gadis yang periang juga cantik dipandang, dia sangat suka bergaul dengan Serina kerana gadis itu senang untuk diajak berbual. Marwa pula lebih kepada wajah yang tampak sopan dan terjaga.
Fikirannya buntu.Suatu hari, dengan membawa sebungkus kuih kek coklat dari rumah, Serina mendapatkan Marwa untuk makan bersama. Mira dan Jessica tidak terkecuali diajak sama. Petang itu cuaca kelihatan gelap, molekul-molekul air dari awan sudah bersiap sedia menjalankan tugasnya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Tidak lama lagi hujan akan turun, hanya menunggu arahan daripada Allah SWT sahaja. Seperti dalam surah Yaasiin ayat 82 yang berbunyi:
Sesungguhnya apabila Dia hendak menciptakan sesuatu hanyalah Dia berfirman,
“Jadilah!” Maka jadilah ia.
“ Aku nak tanya sesuatu, boleh tak?” tanya Marwa membuka topik perbualan. Serina sedang mengemas kembali bungkusan yang dibawanya tadi, mereka telah pun selesai makan bersama. Mira dan Jessica meminta izin untuk beredar ke tandas mencuci tangan yang kotor. Serina sekadar mengangguk.
“ Kau kenal dengan Fadul?”
“ Fadul? Kenapa dengan Fadul?” Serina seperti sahaja dapat menangkap isi penting pertanyaan Marwa sebentar tadi. Marwa yang dikenalinya tidak pernah bertanya soal lelaki, cuma kali ini sahaja gadis yang duduk di hadapannya itu begitu mudah melemparkan topik tersebut. Sebenarnya, Marwa tidak berniat untuk menimbulkan pertanyaan asing seperti tadi. Dia berasa resah dan gelisah seakan-akan ada cahaya biru berlawan merah yang bertentang sebaik sahaja Marwa dan Serina berpandangan. Perlawanan mahu bermula.
“ Kau ‘gerek’ dia kan?” tanya Marwa setelah pasti dirinya kembali tenang. Hati Serina menjadi sayu apabila mendengar pertanyaan Marwa. Hubungan Serina dan Fadul sejak belakangan ini semakin dingin, Fadul sibuk dengan pelajarannya manakala Serina pula seperti tiada arah tujuan. Baginya, Fadul adalah segalanya dalam hidupnya. Dialah racun, dialah ubat segala suka dan dukanya. Jika tidak kerana Fadul yang enggan berjumpa dengannya, dia pasti tidak akan bersama Marwa kini.
Terasa longlai pula untuk Serina menceritakan kepada Marwa. Dasar seorang lelaki, Fadul lebih mementingkan rakannya daripada diri Serina sendiri. Seolah-olah hubungan mereka hanya ‘aksyen-aksyen’ (main-main dalam bahasa Sarawak) belaka. Fadul adalah cinta pertama Serina dan Serina pula adalah cinta pertama buat Fadul. Ya, cinta pertama sememangnya tidak dapat dilupakan. Itulah permualaan yang pertama sekali jika hubungan itu tidak ke jinjang pelamin.
Kenapalah Serina tidak tahu bahawa hubungan cinta tanpa ikatan hanya sia-sia? Kita tidak dapat bersama dengan lelaki itu untuk selamanya, bukan? Hal ini kerana, Fadul bukan suaminya. Bagi anak muda seumur mereka, cinta adalah mainan semata-mata. Tiada langsung istilah cinta sejati untuk diratapi. Mungkin tidak bagi Marwa, hatinya seakan-akan diberikan secara total kepada Fadul. Marwa tahu, itu hanya akan menambah kesedihan kepada Marwa kerana cintanya hanyalah bertepuk sebelah tangan.
Pertanyaan Marwa tetap menjadi tanda tanya kerana Serina tidak menjawab soalan Marwa. Serina membuka topik lain dan Marwa pula turut melupakan persoalan itu. Bukan masanya kini. Jam menunjukkan pukul sepuluh pagi apabila Serina pulang ke kelasnya. Dalam fikiran, Serina tertanya-tanya akan persoalan Marwa. Adakah Marwa mahu merampas Fadul daripadanya? Ah, itu hanya sangkaan semata-mata! Fadul seorang lelaki yang aktif, suka berkawan dan pandai berkawan sehinggakan kawannya tidak terkira.
“ Serina,” seseorang memanggilnya dari arah depan. Serina pun mendongak dan mendapati orang itu adalah Fadul. Dari riak wajah Fadul, seakan ada sesuatu yang mahu diberitahu olehnya kepada Serina. Itu adalah pertemuan pertama selama seminggu mereka tidak bertemu. Seminggu yang lalu, mereka asyik bersama seperti belangkas berjalan sekeliling sekolah. Fadul juga adalah salah seorang daripada pengawas sekolah itu. Sepasang mata Fadul memberikan seribu pengertian untuk Serina.
Hanya mereka berdua sahaja berada di situ. Blok C biasanya akan dikosongkan pada masa-masa selepas rehat untuk memberi ruang buat pelajar sesi petang menunggu sebelum masa tamat untuk sesi pagi. Fadul sengaja datang lebih awal iaitu sebaik sahaja masa rehat tamat, waktu itu sedikit sahaja pelajar sesi petang yang tiba. Serina pula seperti biasa akan menggunakan jalan itu untuk ke kelasnya kerana itu adalah jalan yang paling singkat, kiranya. Blok C berdepanan dengan Blok B tempat kelas Marwa, Mira dan Jessica berada.
Serina hanya meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan Fadul. Dia amat kecewa dengan Fadul yang tidak mengendahkannya selama ini. Seakan anak kecil yang merajuk dengan bapanya kerana Serina berbadan kecil manakala Fadul pula berbadan agak besar dan tinggi. Fadul menarik tangan Serina lembut. Bahkan, dalam Islam istilah bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram sama sekali. Pertama kali Fadul menyentuh tangan Serina adalah pada masa itu. Tidak jauh dari tempat mereka berada, pasti ada syaitan yang ketawa berdekah-dekah melihat anak Adam telah termakan hasutan. Syaitan laknatullah itu tidak akan berhenti menghasut anak Nabi Adam sehinggalah hari kiamatnya tiba. Tidak cukup hanya syaitan sahaja yang ditarik ke neraka atas hukuman oleh Allah SWT, syaitan laknatullah itu juga mahu menarik manusia yang termakan dengan hasutan mereka, dan hari ini syaitan telah berjaya menghasut insan bernama Fathullah dan Serina.
Marwa memerhatikan gelagat Fadul dan Serina dari jauh. Sudah takdir, dia semenjak tadi memerhatikan Serina yang dalam perjalanan balik ke kelas dan Fadul pula menyapanya di hadapan. Marwa menjadi saksi perbuatan mereka. Meski hanya berpegangan tangan, namun itu sudah cukup dipandang buruk. Marwa tidak tahan melihat mereka berdua lalu memberitahu kepada Cikgu Akmal, guru yang sedang mengajar tatkala Marwa sedang memerhati Fadul dan Serina. Marwa menyatakan agar namanya dirahsiakan oleh Cikgu Akmal sebagai pelajar yang melapor. Ketika itu, tiada pelajar yang menyedari saat Marwa memberitahu Cikgu Akmal. Mira dan Jessica pula masih lagi di tandas.
Tindakan Marwa agak bijak juga kerana dia dapat menghalang kemungkaran daripada terus-menerus berlaku antara Fadul dan Marwa. Niatnya pada masa itu tidak elok kerana dia hanya mahu Fadul dan Serina segera berpisah, itulah tujuannya memberitahu kepada Cikgu Akmal. Bukankah lebih baik jika niatnya murni kerana sayangkan Islam pada masa itu? Perbuatan Serina dan Fadul yang berpegangan tangan itu boleh mencemar nama baik agama Islam khususnya. Tidak pernah kes seperti ini berlaku di sekolah tersebut, mereka berdualah yang pertama sekali naik menjadi johan.
Johan? Fadul dan Serina digantung sekolah selama seminggu kerana melanggar peraturan sekolah, mereka tidak dibenarkan keluar daripada rumah sekalipun. Malah sebaik sahaja hukuman mereka tamat seminggu, mereka berdua akan menjalani kaunseling secara berasingan. Akhirnya, hubungan mereka putus begitu sahaja. Jawatan pengawas Fadul juga telah dilucutkan hanya kerana perbuatannya tempoh hari.
“ Aku dan Fadul dah tak ada apa-apa lagi dah sekarang ni, Mar,” kata Serina kepada Marwa pada suatu hari di rumah Marwa Insyirah. Serina sedang berbaring di atas ribaan Marwa. Marwa sekadar mendiamkan dirinya, membiarkan Serina meluahkan isi hatinya. Barangkalai itu akan melegakan Serina. Perasaannya terhadap Fadul diketepikan pada saat ini, keadaan Serina lebih penting. Dia tidak mahu Serina jadi apa-apa disebabkan peristiwa tempoh hari yang berpangkalkan laporan dari Marwa juga.
Sebelum ini, Serina pernah terlibat dalam cubaan membunuh diri dengan memakan pil berlebihan. Puncanya adalah, ramai rakannya yang berlaku jahat kepadanya di sekolah termasuk meracun Serina dengan memberi air berisi bahan pencuci kain yang berbahaya. Akibatnya, Serina dimasukkan ke hospital. Selepas itu barulah Serina cuba membunuh diri dengan memakan pil tidur berlebihan sehingga muntah darah.
Marwa Insyirah masih sayang akan Serina seperti adiknya sendiri sahaja. Serina pula selesa berdampingan dengan Marwa kerana Marwa seorang pendengar yang baik, segala masalah diceritakannya kepada Marwa. Marwa pada fikirannya lebih berfikiran matang dan tidak seperti rakan-rakannya yang lain yang boleh disebut sebagai ada udang di sebalik batu. Kini barulah Marwa sedar bahawa dia sebenarnya tidak mencintai Fadul, perasaan cintanya hanyalah kerana nafsu. Ya, Fadul memiliki wajah yang handsome dan itu yang menyebabkan Marwa tertarik kepadanya. Dia berasa dirinya tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mencintai Fadul.
Lumrah hidup, lelaki tertarik kepada perempuan dan perempuan pula tertarik kepada lelaki, makhluk berlainan jantina. Namun ada juga yang melencong sehingga mencintai kaum sejenis. Betapa ramainya manusia di muka bumi ini yang diciptakan oleh Allah SWT insan sejenis juga yang dijadikan tarikan utama. Marwa Insyirah mendengus malas. Serina terdengar akan dengusannya.
“ Maafkan aku kerana terlalu emosi,” kata Serina lalu bangun dan menyeka air matanya. Marwa serba salah jadinya. Dia tidak bermaksud untuk berbuat begitu.
“ Apa kata kau ikut aku?”
“ Pergi mana?”
“ Tak ke mananya. Cuma pergi ke kedai,” jawab Marwa. Mereka berdua pun ketawa bersama. Serina pula kembali ceria.
Tiada sesiapa yang tahu gerangan orang yang melaporkan tentang perbuatan Serina dan Fadul tempoh hari. Malahan, masing-masing seakan tidak berminat untuk mengetahuinya kerana Cikgu Akmal mendakwa bahawa dirinyalah yang melihat perbuatan mereka lalu terus melapor pada guru yang lainnya. Helah Cikgu Akmal bukan berniat untuk menipu, memang benar dia melihat perbuatan mereka itu pun disertai juga dengan kehadiran Marwa Insyirah. Sejak peristiwa itu, Marwa Insyirah sebagai pelajar yang melapor menjadi sebutan oleh Cikgu Akmal. Guru itu seringkali memuji Marwa di dalam kelas. Marwa bagi beliau ada kelainan daripada pelajar perempuan yang lainnya.
Benar, Marwa Insyirah di dalam kelas tidak suka diambil perhatian oleh guru yang mengajar. Dia suka mendiamkan diri dan menundukkan pandangannya jika guru yang mengajar itu adalah lelaki. Cuma apabila sesuatu persoalan timbul barulah Marwa Insyirah bangun dan menemui gurunya untuk bertanyakan beberapa soalan. Perasaannya yang telah hapus pada Fadul telah menyebabkan Marwa berubah menjadi pelajar yang rajin bertanya dan rajin belajar. Mira dan Jessica membenarkan perubahan yang dibawa oleh Marwa. Kenapa tidak? Kawan nak berjaya, pasti mereka turut mahu berjaya. Mereka bertiga kerap berjumpa di perpustakaan awam berdekatan untuk belajar bersama, study group.
“ Assalammualaikum,” seseorang menyapa mereka berdua daripada belakang. Serentak itu, Serina dan Fadul melepaskan tangan masing-masing. Mereka terkejut dengan kehadiran Cikgu Akmal di hadapan mereka. Seingat Fadul, hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ sejak tadi. Fadul mula mengesyaki sesuatu. Mereka membalas salam yang diberi. Terhias riak resah, gelisah, dan takut di wajah mereka bercampur-baur.
“ Apa yang korang buat dekat sini pagi-pagi macam ni? Hah!” tanya Cikgu Akmal. Guru itu kelihatannya amat marah, merah mukanya dapat dilihat. Pelajar yang disangka beliau amat berdisiplin itu rupa-rupanya indah khabar daripada rupa sahaja. Fadul telah mengecewakan Cikgu Akmal.
“ Kami cuma nak berjumpa dan berbincang tentang hal kerja sekolah,” jawab Fadul. Hanya itu jawapan yang berlegar-legar di fikirannya.
“ Ya, betul,” Serina mengiyakan. Dia juga tidak mahu ditangkap dalam keadaan hina seperti itu. Nah, berani buat berani tanggung!
“ Sudah, kamu berdua ikut saya,” arah Cikgu Akmal lalu menarik Serina dan Fadul berjumpa dengan guru disiplin. Beliau tidak dapat mempercayai kenyataan yang diberi oleh Serina dan Fadul. Segalanya terang lagi nyata, tak usah bersuluh. Fadul menoleh ke arah Serina yang sedang bingung memikirkan nasibnya selepas ini. Tatkala itu juga, dia terpandang akan Marwa yang sedang melihat ke arah mereka dari blok kelas Marwa sendiri. Marwa seorang sahaja yang berdiri di luar kelas melihat ke arah mereka.
Mungkin juga Fadul mengesyaki Marwa yang melaporkan perbuatan mereka? Mungkin juga tidak kerana perbuatan mereka itu boleh dianggap sesuatu yang mengejut ditambah lagi dengan kehadiran Cikgu Akmal, pasti pelajar lain akan bising dan ingin tahu lalu melihat dengan mata kepala sendiri. Fadul menepis sangkaannya. Dia sedang asyik memikirkan tentang hukuman yang bakal diterima oleh Serina dan dirinya. Tiada sesiapa yang dapat menghalang jika kebenaran itu ditunjukkan oleh Allah SWT, dan tiada sesiapa yang dapat menghalang setiap apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Marwa Insyirah menanggalkan telekungnya, berkemas-kemas untuk keluar dari rumah. Peristiwa itu telah berlaku selama tujuh tahun yang lalu, dia harus kembali berpijak di bumi yang nyata. Kurang sejam setengah dari sekarang, dia akan berlepas ke kolejnya nun di Negeri di Bawah Bayu. Naurah Nawwarah pasti sedang menantinya di lapangan terbang kini.
Oleh : Nur Hasyimah Mohammad