10.09.2009

25 Pesanan Luqmanul al-Hakim


1.Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2.Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

3.Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

4.Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5.Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6.Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

7.Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8.Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9.Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10.Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11.Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12.Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13.Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14.Makanlah makananmu bersama sama dengan orang - orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15.Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16.Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17.Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18.Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19.Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ (riak) yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20.Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21.Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22.Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu. Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

23.Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
24.Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.

25.Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


9.25.2009

Belajar Tidak Tahu!

Saya tertarik dengan status YM seorang sahabat di Mesir yang ditulis dalam Bahasa Arab. Maknanya lebih kurang begini:

Belajarlah "aku tidak tahu", kerana jika engkau belajar "aku tidak tahu", mereka akan mengajar engkau sehingga engkau tahu, tetapi jika engkau belajar "aku tahu" maka mereka akan bertanya engkau sehingga engkau tidak tahu!!

Boleh faham kot..

Pulang ke Malaysia ni, saya ditanya pelbagai soalan. Ada yang bertanya begini, "Saya dengar orang kata hukum A begini...." atau " Kakak saya kata saya wajib buat begini kerana saya lakukan kesalahan tu" dan pelbagai soalan yang senada.

Saya terfikir. Mudah betul masyarakat kita mengeluarkan hukum syara' ya.


Dalam tazkirah di Masjid Al-Ikhlas, Selayang Baru, beberapa hari lepas, saya ada menyebut betapa ada di kalangan kita yang menjawab persoalan hukum dengan ayat "saya rasa" atau "i think". Respons dari jemaah masjid, saya lihat mengiyakan kenyataan saya.

Amat ramai masyarakat kita yang tidak berautoriti dalam masalah hukum, mengeluarkan fatwa. Di lelaman siber lebih-lebih lagi. Alasan mereka, "Islam untuk semua". Ya, memang Islam untuk semua. Ilmu Islam juga terbuka buat semua ummat mempelajarinya. Tetapi bezakan dengan memberikan hukum. Proses pengeluaran hukum terlalu payah dan berat.

Ulamak terdahulu ada yang menyebutkan, "Apabila aku ditanya satu persoalan, terlalu berat bagiku, bagai terpampang di hadapanku neraka dan syurga." Hingga mereka terlalu takut untuk menjawab persoalan. Takut dicampak ke neraka. Malah kita semua dah dengar kisah Imam Malik yang menjawab beberapa persoalan sahaja dari puluhan yang ditanya. Malah akan dibentak apabila dikatakan "ini kan soalan simple je wahai Imam?"

Ulamak juga kata, perkataan "tidak tahu" itu separuh dari ilmu. Kita pula tidak. Bagai seorang yang paling tahu semua perkara. Sampai habis para ulamak dahulu pun dibantainya.

Apa beza kita dengan ulamak dahulu sehingga mereka mudah menyebut Wallahu A'lam atau "aku tidak tahu"? Tentu sekali taqwa. Mereka lebih takutkan konsekuensi menjawab itu berbanding kita yang memiliki ego mengatasi taqwa. Bulan ramadhan ini mengajar kita bertaqwa, jadi mari kita aplikasikan juga taqwa di sini.

Kalau kita sangka kita tahu, sedangkan kita sebenarnya tak tahu, inilah yang dinamakan sebagai jahil murakkab. Jahil tahap paling teruk. Jahil berganda. Pertamanya, jahil permasalahan tu. Keduanya jahilkan kelemahan diri tu sendiri. Seterusnya menyangkakan yang batil itulah haq. Kasihan bukan?

Maka itu kita kena budayakan sifat "aku tidak tahu". Mana ada manusia yang tahu semua perkara. Walau belajar berpuluh tahun pun dengan syaikh-syaikh yang hebat, takkan tahu semua perkara. Inikan pula belajar setahun dua. Suka ponteng pula tu.

Jom kita belajar "tidak tahu"!

Sumber iluvislam.com

9.11.2009

Dari Hati untuk Hati





Dari Hati untuk Hati


Di bulan Ramadhan yang mulia ini...ku mohon agar Engkau ikhlaskan hatiku untuk terus berada dalam jalanmu,sungguh, Engkau Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati hamba-hamba-Mu..aku sangat takut ya Allah..orang-orang yang berada di sisiku berlalu pergi dariku tanpa aku sedari dan sesungguhnya jika itu berlaku, itu adalah takdirmu..


Aku mula mengorak langkah ini..yakni berubah ke arah kebaikan..seringkali aku teringat akan dosa-dosaku yang lalu..Ya Allah, ampunilah aku ya Allah..Aku bermohon kepada-Mu ya Allah agar apa yang aku usahakan ini tidak menyebabkan orang lain berfikiran negatif terhadapku ya Allah, yakni fitnah yang tidak aku inginkan ya Allah...


Sesungguhnya kepada Engkau aku bermohon kepada Engkau juga aku akan kembali... jalan-Mu ini sungguh, penuh renjau dan duri...yang satu aku cuba ke depan...yang satu aku tertinggalkan...


Ya Allah, aku masih tertanya-tanya akan hikmah di semua ujian yang Engkau berikan ini ya Allah...ampunilah dosa-dosa orang-orang di sisiku ya Allah..lembutkanlah hati mereka sepertimana Engkau melembutkan besi yang keras ya Allah...yang menjadi penghalang ukhwah antara kami...Tunjukilah kami hidayahmu ya Allah...semoga dengan ini kami dapat melihat mana jalan yang bengkok dan mana itu jalan yang lurus...


Amiin..


7.28.2009

Kisah Seekor Ulat dengan Nabi Daud A.S




Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud a.s sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ukat merah pada debu. Lalu Nabi Daud a.s berkata pada dirinya,

" Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?"

Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah oun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud a.s.

" Wahai Nabi Allah! Allah SWT telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahuakbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wasaohbihi wasallim' setiap malam sebanyak 1000 kali"

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud a.s.
" Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?"

Akhirnya Nabi Daud a.s menyedari akan kesilapannya kerana memandang enteng akan ulat tersebut, dan Nabi Daud a.s sangat takut akan Allah SWT. Nabi Daud a.s pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah SWT.

@ begitulah sikap para Nabi apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat & menyerah diri kepada Allah SWT. So, kalau buat apa-apa kesilapan, kembalilah kepada Allah. Allah sedia mendengar dan menerima doa hamba-Nya.

@ Kisah-kisah yang berlaku pada zaman nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai sejarah semata-mata, tetapi hendaklah kita jadikan teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di muka bumi ini, yang sama-sama kita tumpani ini.

@ Ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan apa yang ada dalam hati kita dan Allah juga Maha Mengetahui akan kelemahan dan keistimewaan makhluk-makhluk-Nya. Samalah seperti ulat merah tadi, walaupun ia kecil pada debu. Tapi ia sebenarnya sentiasa bertasbih kepada Allah.